SAUDARA PENGARANG,
KISAH poligami selebriti dan pengarah, Syamsul Yusof dengan bekas isterinya yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana kecoh sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat bukan Islam
mengenai poligami.
Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, sebanyak 859 pasangan memohon untuk berpoligami manakala sejumlah 1,617 pasangan berpoligami tanpa kebenaran direkodkan empat tahun lalu.
Menurut undang-undang, pihak lelaki (suami) perlu meminta kebenaran isteri terlebih dahulu jika ingin berpoligami kerana perkahwinan di luar negara atau tanpa izin boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Walaupun poligami merupakan mimpi ngeri bagi segelintir wanita, namun jika suami bijak dalam mengendalikan rumah tangga dengan membahagikan tanggungjawab serta kasih sayang sebaiknya tanpa berat sebelah, ia boleh berubah menjadi indah.
Menurut riwayat Ahmad Bin Hanbal, Rasulullah SAW memberi amaran bagi lelaki yang tidak mampu berlaku adil akan mendapat balasan kelak.
Jelaslah poligami bukan semata-mata mengikut hawa nafsu tetapi seorang lelaki perlu mempunyai ilmu pengetahuan dalam berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Selain itu, ikutlah undang-undang ditetapkan oleh pihak berautoriti supaya kesucian Islam tidak tercemar. Jika kita mengikut sejarah Islam, Rasulullah SAW mengamalkan poligami dengan benar-benar adil dan bukan kerana nafsu. Malah beliau hanya mengahwini Siti Khadijah, isteri pertama baginda selama 25 tahun.
Hakikatnya, poligami tidak semuanya buruk sebaliknya hanya wanita sering kali dimomokkan dengan persepsi negatif yang dikongsi di media sosial.
Oleh itu, amat penting bagi suami yang berhasrat untuk berpoligami mempersiapkan diri dengan ilmu agama dan benar-benar bersedia dari aspek rohani dan jasmani.
Tunjukkanlah akhlak yang baik agar syiar Islam tidak terus dipandang negatif oleh masyarakat awam.-UTUSAN
SITI NUR SHAHIRAH OMAR dan DR. MUHAMMAD RAQIB MOHD. SOFIAN
Universiti Sains Islam Malaysia