SAUDARA PENGARANG,
SELEPAS terbentuknya kerajaan perpaduan hampir lapan bulan, kini sekali lagi tumpuan seluruh rakyat kepada pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri yang bakal diadakan secara serentak pada 12 Ogos nanti.
Ramai pemerhati politik membayangkan PRN ini akan menjadi medan untuk rakyat menyatakan pendirian terhadap gabungan kerajaan perpaduan, jajaran baharu politik yang tidak pernah difikirkan berlaku.
Ia juga akan menjadi medan menilai prestasi Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO yang mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Adakah akan berlaku pemulihan mandat sokongan terhadap UMNO atau menjadi lebih teruk lagi? Selain itu, mampukah arus gelombang hijau Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 diterjemahkan sekali lagi pada PRN kali ini?
Ramai berpandangan, pertembungan sengit antara gabungan kerajaan perpaduan dengan PN berlaku di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Jika mengambil kira pola pengundian pada PRU15 lepas di Kedah memperlihatkan 56 peratus pengundi berpihak kepada PN dan Pakatan Harapan (PH) 24 peratus manakala BN hanya 20 peratus.
Di Kelantan, margin lebih tinggi antara PN dan PH apabila rekod menunjukkan seramai 64 peratus pengundi memilih PN berbanding 27 peratus untuk BN dan hanya sembilan peratus untuk PH.
Pola pengundian hampir sama berlaku di Terengganu bilamana 63 peratus pengundi memilin PN, 32 peratus memilih BN dan lima peratus memilih PH.
PN dilihat ada kelebihan untuk kekal menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangkakan PH disertai BN yang menjadi tonggak kerajaan perpaduan mampu mengekalkan kerajaan negeri yang ada walaupun menghadapi persaingan sengit daripada PN.
Antaranya di Selangor bilamana PN berjaya menawan enam kerusi Parlimen di kubu kuat PH pada PRU15. PRN kali ini juga akan menjadi medan untuk ahli akar umbi UMNO menyatakan pendirian masing-masing.
Mereka dikhabarkan kurang selesa dengan keputusan pucuk pimpinan bersama-sama PH yang dianggotai DAP membentuk kerajaan perpaduan.
Terjemahan pada kertas undi nanti menjadi isyarat jelas kepada UMNO sama ada segala tindakan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu dipersetujui oleh ahli akar umbi atau sebaliknya.
Isu-isu berkaitan ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup, kadar tukaran wang dan janji-janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen PRU15 akan dimanipulasi sebaik mungkin oleh PN untuk mendapat sokongan pengundi.
Bagi menghadapi PN, kerajaan perpaduan harus menerangkan kepada pengundi hasil kerja selama hampir lapan bulan memerintah di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, gabungan yang menang perang di media sosial seperti TikTok, Facebook dan Twitter dilihat mempunyai kelebihan menarik sokongan pengundi sementelah lagi pada PRN kali ini menyaksikan penyertaan ramai pengundi muda.
Seramai 29 peratus pengundi berumur 18 hingga 29 tahun dan 22 peratus berusia antara 30 hingga 39 tahun. Jika dihitung keseluruhan pengundi berumur 40 tahun ke bawah adalah sebanyak 51 peratus.
Selamat mengundi kepada pengundi-pengundi di PRN kali ini. Gunakan hak anda dalam menentukan gabungan mana paling layak mengetuai kerajaan negeri masing-masing. – UTUSAN
NADZIR AWANG AHMAD @ SAID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis