Perkenal subjek baharu di sekolah tentang bahaya vape - Utusan Malaysia

Perkenal subjek baharu di sekolah tentang bahaya vape

JUMLAH perokok dan penghisap vape dalam kalangan pelajar sekolah semakin meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan sukatan pelajaran baharu mengenai bahaya vape di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Ini kerana ia adalah isu mendesak memandangkan hari demi hari, bilangan perokok dan penghisap vape dalam kalangan pelajar sekolah semakin meningkat.

Sudah ada lima juta perokok dan 1.5 juta daripada jumlah itu adalah penghisap vape. Statistik terkini Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan 43,019 pelajar sekolah menengah dan 341 murid sekolah rendah menghisap rokok. Jumlah ini pastinya tidak baik untuk kemajuan negara.

Lebih membimbangkan, KKM mengecualikan nikotin sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun sejak 1 April lalu. Dan kesannya, kami menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan guru bahawa anak remaja mereka membeli produk vape yang mengandungi nikotin.

Malah, kami mendapati bilangan perokok dan penghisap vape di peringkat sekolah menengah, rendah dan universiti membimbangkan. Bahkan produk itu amat mudah didapati di pasaran selain mereka tidak mengetahui bahaya tembakau dan cecair vape yang mengandungi nikotin.

Ekoran kesan bahaya nikotin, sangat tidak logik untuk kerajaan mengeluarkan nikotin dari senarai racun tetapi tiada cukai ke atas rokok sejak tujuh tahun lalu. Sedangkan dalam masa sama, kerajaan menguar-uarkan kempen cara hidup sihat.

Disebabkan itu, CAP mahu kerajaan pertimbangkan untuk mewujudkan satu sukatan pelajaran tentang bahaya produk ini kepada pelajar agar mereka tidak menjadi mangsa.

Malaysia memerlukan anak-anak muda ini untuk pembangunan masa depan negara. Jadi, sudah tiba masanya semua pihak memainkan peranan dalam menyelamatkan kanak-kanak daripada berdepan masalah ketagihan dan kesihatan pada masa akan datang. – UTUSAN

N.V. SUBBAROW, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya