SAUDARA PENGARANG,
ISU ekonomi negara dan peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat memberi kesan kepada banyak pihak termasuk penternak atau pengusaha lembu yang mengalami kemerosotan penjualan pada Hari Raya Aidiladha, 29 Jun lalu.
Lazimnya penternak lembu adalah golongan yang teruja untuk menyambut hari raya korban selain daripada jemaah haji yang berada di tanah suci Mekah memandangkan hasil jualan mereka meningkat pada waktu ini kerana permintaan tinggi untuk pelaksanaan ibadah korban.
Namun pada tahun ini, berdasarkan bacaan dan laporan diterima, kebanyakan penternak lembu mengalami penurunan permintaan atau jualan antara 15 hingga 20 peratus.
Penurunan permintaan untuk lembu korban ini mungkin disebabkan beberapa faktor seperti kenaikan harga lembu dan juga kemampuan pembeli sehingga terpaksa menangguh dahulu hasrat bagi menyalurkan wang tersebut kepada keperluan utama atau asas yang lebih mendesak.
Dalam situasi sebegini, penternak lembu tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan harga bagi menarik permintaan lebih tinggi. Ini kerana mereka juga terpaksa menanggung kos yang tinggi khususnya melibatkan kenaikan harga makanan ternakan seperti dedak.
Bagi individu yang tekad dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan ibadah korban, ada dalam kalangan mereka memilih untuk berkorban di luar negara seperti di Kemboja, Laos, Vietnam, Indonesia serta negara-negara Asia Barat seperti Syria, Palestin, Yaman dan Iraq berikutan harga lembu yang lebih murah (bergantung kepada negara serta agensi menguruskan ibadah korban). Banyak agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu menawarkan perkhidmatan korban di luar negara.
Justeru, kerajaan perlu memastikan pemain industri mematuhi harga kawalan makanan ternakan dan pengawalan harga perlu juga dibuat dalam rantaian industri.
Dengan adanya pengawalan harga sebegini, ia dapat memastikan semua pihak khususnya pengguna atau penternak dan industri mencapai matlamat dan habuan masing-masing.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AMANUDDIN SHAMSUDDIN
Dekan Sekolah Perniagaan UNITEN (UBS),
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)