SAUDARA PENGARANG,
APABILA bercakap mengenai pilihan raya di negara ini khususnya beberapa tahun kebelakangan ini, kita tidak boleh lari daripada membincangkan tentang pengundi muda berusia 18 tahun (Undi18).
Adalah hak asasi warganegara untuk mengambil bahagian dalam proses pemilihan umum. Biasanya seseorang hanya dibenarkan mengundi apabila mencapai umur minimum ditetapkan oleh undang-undang negara tersebut.
Sebelum pengenalan Undi18, kebanyakan negara mempunyai had umur undi 21 tahun. Namun, terdapat gelombang desakan yang meningkat dalam kalangan golongan muda untuk memperoleh hak mengundi pada usia lebih awal.
Alasan utama bagi pengenalan Undi18 adalah warga muda juga mempunyai kepentingan dan hak untuk menyumbang kepada proses demokrasi yang mencorak hala tuju negara.
Dengan memberikan hak undi kepada warga muda, mereka memiliki peluang untuk mengambil bahagian secara langsung dalam proses politik, mempengaruhi polisi dan keputusan berkaitan masa depan mereka.
Bagaimanapun, wujud beberapa kebimbangan dengan pengenalan Undi18 termasuk sama ada cukup atau tidak pendedahan dan pendidikan politik kepada golongan muda, potensi pengaruh dan manipulasi serta pentingnya melindungi golongan muda daripada tekanan tidak diingini.
Pengundi muda tidak seharusnya mudah terpedaya dengan propaganda segelintir pihak yang hanya ingin memanipulasikan mereka bagi kepentingan politik.
Dalam perkembangan sama, Undi18 dilihat memberikan warga muda peluang untuk menyumbang kepada proses politik lebih awal, mengiktiraf suara mereka adalah penting dan memberikan ruang untuk mereka berpartisipasi secara aktif dalam pembentukan masa depan negara.
Pengenalan Undi18 juga mendorong pihak berkuasa untuk meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan golongan muda.
Ini akan membantu meningkatkan kesedaran politik, pemahaman mengenai isu-isu sosial dan ekonomi serta pengetahuan mengenai proses demokrasi.
Hal ini mempersiapkan belia untuk menjadi pemilih yang berpengetahuan dan berfikiran kritis. – UTUSAN
MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI & MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam