Pengalaman pahit pelancong Vietnam di KLIA - Utusan Malaysia

Pengalaman pahit pelancong Vietnam di KLIA

TIDAK seharusnya rasuah yang melibatkan segelintir pegawai imigresen menjejaskan imej negara ini. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sedalam-dalamnya dakwaan kes rasuah melibatkan segelintir pegawai Jabatan Imigresen (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jangan dibiarkan rasuah melibatkan segelintir pegawai imigresen menjejaskan imej negara tercinta ini.

Oleh itu, isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana pegawai imigresen menjalankan tugas dalam kawasan tertutup yang tidak terdedah kepada pemantauan orang awam.

Justeru, cara dan taktik penyiasatan SPRM terhadap pegawai JIM yang menyeleweng kuasa mereka perlu seiring dengan suasana dan persekitaran pekerjaan mereka yang selalunya terlindung daripada pemerhatian orang awam.

Hal ini juga menyebabkan kebanyakan kes rasuah tidak dapat disiasat dengan mudah kerana selalunya melibatkan pelancong dan warga asing serta jarang sekali melibatkan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara.

Ia menjadi lebih sukar apabila kes-kes ini melibatkan warganegara asing yang tidak fasih berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Mereka juga selalunya enggan datang semula ke Malaysia untuk memberi keterangan kerana pengalaman pahit dialami ketika ditahan JIM.

Walaupun kes rasuah mungkin berlaku tetapi selalunya tidak dapat disiasat sehingga membolehkan pendakwaan dibuat di mahkamah kerana kekurangan bukti dan maklumat.

Saya sendiri pernah menerima satu aduan daripada seorang warganegara Vietnam yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

Ayahnya yang hanya fasih bahasa Vietnam terpaksa pulang ke negara itu apabila tidak dibenarkan masuk untuk melawat anak perempuan dan cucunya.

Dalam kes ini, ayah pengadu tidak dapat berkomunikasi dengan anaknya dan mereka hanya diminta untuk menelefon pihak yang berwajib walaupun nombor telefon yang diberi itu jarang dijawab.

Warga Vietnam tersebut terpaksa pulang dan wang yang dibawanya telah diambil. Walaupun aduan dibuat secara rasmi melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) tetapi pihak berwajib masih menuntut daripada pengadu nama pegawai JIM yang dipercayai telah menyeleweng.

Walaupun itu adalah prosedur yang betul tetapi maklumat tidak dapat diperoleh kerana pengadu tersebut sudah tidak berada lagi di Malaysia dan tidak dapat memberi apa-apa keterangan boleh membantu siasatan SPRM.

Barangkali pengadu tersebut sudah tidak mahu berkunjung ke Malaysia lagi! Saya berpendapat prosedur membuat aduan dan kaedah penyiasatan sedia ada adalah tidak mesra pengadu.

Bagi saya, walaupun cara Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang menimbulkan kekecohan di KLIA baru-baru ini agak kasar tetapi ternyata pemeriksaan secara mengejut dan rawak sebegini adalah satu cara berkesan untuk mengetengahkan masalah yang wujud di jabatan kerajaan.

Cuma ia tidak sewajarnya dilakukan secara kerap. Sebelum ini, tumpuan tentang masalah rasuah adalah terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi kita harus tahu, ia bukan satu-satunya jabatan yang diletakkan di bawah KDN.

Adalah menjadi harapan rakyat supaya Malaysia bebas daripada rasuah. Sudah sampai masanya pengurusan tertinggi KDN mengambil tindakan drastik bagi mengatasi masalah rasuah dalam kalangan pegawai di jabatan dan agensi di bawahnya. – UTUSAN

LAU WENG SAN, Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya