SAUDARA PENGARANG,
KAMI, Jawatankuasa Penduduk Kemensah (KRC) di Kemensah Heights, Selangor ingin membantah cadangan pembangunan pangsapuri di atas Lot PT 18763, PT 14872 dan PT 16431 dan sebahagian tanah milik kerajaan oleh pemaju swasta.
Pembangunan ini melibatkan tanah kerajaan, namun ia masih belum dilupuskan kepada pemaju dan tiada tanda tangan kerajaan sebagai pemilik tanah dalam pembangunan ini. Oleh itu, permohonan ini dilihat tidak sah dari segi perundangan.
Bahkan kawasan ini hanya diluluskan untuk densiti lapan unit seekar tetapi cadangan dikemukakan melebihi had dibenarkan.
Pembangunan in juga tidak patuh pelan tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang baharu dan masih belum diwartakan. Jadi, permohonan ini tidak sah kerana tidak mematuhi kawasan baharu ditetapkan.
Penilaian Tahap Perkhidmatan (LOS) melebih kapasiti boleh menyebabkan kesesakan teruk. Tapak ini hanya sesuai untuk pembangunan harta tanah. Pemaju hendaklah membuat Penilaian Kesan Lalulintas (TIA) memandangkan jalan di situ sempit dengan kelebaran 40 kaki sahaja.
Bukan itu sahaja, wujudnya risiko hakisan dan tanah runtuh berikutan ia terletak di kawasan lereng bukit.
Dengan ketinggian 14 hingga 15 tingkat dengan lima tingkat tempat letak kereta, dijangka menyebabkan penambahan kesesakan di kawasan ini sehingga boleh memburukkan bekalan air. Ini kerana tekanan yang rendah di kawasan ini boleh menjejaskan keperluan bekalan air sedia ada.
Malah MPAJ juga tidak memberi akses kepada kajian dan Laporan Cadangan Pemajuan (LCP), TIA, Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA), Penilaian Impak Sosial (SIA), laporan geoteknikal pemeriksa bebas, pelan kontor dan pelan cadangan.
Sudah pasti jika projek ini diteruskan akan menyebabkan parit dan sungai berdekatan dipenuhi kelodak daripada kerja-kerja binaan dan membawa risiko banjir. Air ini akan mencemarkan tasik dalam Zoo Negara.
Kawasan ini juga tidak sesuai dibangunkan pangsapuri kerana tidak mempunyai kawasan rekreasi aktif yang luas, dewan orang ramai, risiko kebakaran kerana tiada balai bomba berdekatan, malah semakin sesak akibat kedatangan pelancong ke Zoo Negara, Bukit Tabur dan Sungai Kemensah.
Justeru, kami berharap Jabatan Perancang Bandar MPAJ dapat mempertimbangkan bantahan kami dengan serius demi kepentingan penduduk dan kestabilan kawasan ini.-UTUSAN
MOHD. FAZIL ABDULLAH
Pengerusi Jawatankuasa
Penduduk Kemensah (KRC)