SAUDARA PENGARANG,
KONSEP equality (kesamaan) dan equity (kesaksamaan) merujuk kepada konsep yang sama tetapi ada sedikit perbezaan.
Sebagai asasnya, kesamaan merujuk kepada peluang yang sama rata pada setiap golongan tidak mengira sosioekonomi sesebuah masyarakat.
Dalam erti kata lain, semua golongan akan memperoleh dan menikmati apa jua yang diberikan pada kadar sama rata. Tidak ada yang lebih mahupun kurang.
Kesaksamaan pula merujuk kepada penawaran pelbagai tahap sokongan ataupun inisiatif bergantung kepada keperluan untuk mencapai keadilan yang lebih besar di mana tujuan utama adalah untuk merapatkan jurang sosioekonomi sesebuah masyarakat.
Dalam ekonomi Islam, kedua-dua konsep ini sememangnya dituntut kerana kedua-duanya merujuk kepada bagaimana sesuatu sumber kekayaan yang ada itu diagihkan sama rata dan seimbang demi pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Persoalannya di sini, konsep yang mana satukah amat bersesuaian untuk merapatkan jurang sosioekonomi masyarakat pada masa kos sara hidup makin meningkat?
Jika dilihat dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan, pelbagai inisiatif diberikan sejak dahulu lagi tanpa mengira latar belakang sosioekonomi rakyat. Antaranya, subsidi yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Senario ini sudah semestinya merujuk kepada konsep di mana kesamarataan pada setiap golongan masyarakat. Tetapi apabila ketidaktentuan ekonomi semasa melanda, pihak berwajib melihat kembali pemberian subsidi ini di mana penyaluran sumber mesti secara saksama dan seimbang agar jurang dalam masyarakat dapat dirapatkan.
Kita tidak mahu melihat inisiatif ini tidak mengikut konsep kesaksamaan kerana dikhuatiri jurang sosioekonomi rakyat makin melebar. Kaya akan terus menjadi kaya dan miskin terus menjadi miskin.
Sehubungan itu, sebagai asasnya, sebarang inisiatif yang diberikan perlu disalurkan kepada mereka yang memerlukan akibat ketidakupayaan untuk membayar dengan harga mahal demi menikmati kemudahan diberikan.
Jadi, dalam konteks ini, sudah semestinya inisiatif seperti subsidi sepatutnya diberikan keutamaan kepada mereka yang layak terutama daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) pula, sudah semestinya mereka juga berhak untuk menikmati subsidi memandangkan rata-rata golongan ini adalah pembayar cukai.
Ia tidak boleh ditarik terus tetapi lebih kepada pengurangan agar lebihan dapat disalurkan dan diagihkan kepada golongan yang lebih memerlukan.
Bagaimanapun, perubahan ini perlulah dilakukan dengan berhati-hati agar ketidakpuasan hati dalam masyarakat tidak terjadi dan akhirnya menjadi barah dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, pendekatan secara holistik perlu diambil dalam melaksanakan konsep kesaksamaan agar jurang sosioekonomi rakyat dapat dirapatkan. Antaranya memperkenalkan dasar pembahagian semula pendapatan.
Agensi kerajaan boleh melaksanakan dasar ini yang bertujuan mengimbangi pembahagian pendapatan antara kumpulan pendapatan.
Dasar ini boleh dilakukan melalui program-program seperti pendekatan cukai secara progresif, bantuan tunai kepada golongan memerlukan seperti inisiatif Payung Rahmah yang dilakukan oleh kerajaan serta program bantuan sosial yang dikhususkan kepada golongan memerlukan pembelaan pemerintah.
Di samping itu, langkah membanteras rasuah dan ketidakadilan perlu dilakukan dengan serius. Kerajaan harus bertindak secara tegas dalam memerangi rasuah sehingga ke akar umbi agar tidak lagi wujud ketidakadilan dalam pembahagian sumber yang ada. – UTUSAN
DR. MOHD. RAHIM KHAMIS dan MOHD. FAIZAL KAMARUDIN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam