SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin memberi pandangan tentang mahasiswa yang menjalani latihan industri (intern) yang mendapat respons Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri menyarankan syarikat dan organisasi memberikan sedikit elaun kepada intern untuk menanggung kos perjalanan dan makan minum.
Anwar berkata, bayaran terlalu rendah oleh majikan terhadap pelajar internship adalah tidak munasabah dan tidak selaras dengan dasar ekonomi negara yang menekankan prinsip keadilan.
Kata Perdana Menteri, ketika beliau mengambil mahasiswa bekerja di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen suatu ketika dahulu, mereka dibayar sedikit elaun untuk kos perjalanan dan makan minum tetapi tidak terlalu tinggi kerana prinsipnya intern itu bukan pekerja.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan memandangkan intern tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma.
Pada hemat saya, mahasiswa perlu memikirkan mereka masih lagi pelajar yang perlu menimba pengalaman sebelum menjejak kaki ke alam pekerjaan kelak.
Walaupun disuruh membancuh kopi, anggaplah itu sebagai permulaan untuk menimba pengalaman dan membentuk sifat baik dalam diri.
Tugas dianggap remeh itu boleh membentuk diri mereka untuk menjadi pegawai disegani dan dihormati dan menjadi bos yang merendah diri.
Tidak semestinya pegawai tidak boleh membancuh kopi, membuat fotokopi dan menyusun fail sendiri dan hanya tahu duduk mengarah itu dan ini.
Pegawai yang bersikap merendah diri selalunya dipandang tinggi oleh pekerja bawahan berbanding yang bersikap mengarah. Kita jangan lupa, prestasi cemerlang sesebuah syarikat bukan hanya sumbangan daripada pengarah dan pekerja atasan tetapi penglibatan semua pekerja.
Dengan kata lain, intern mendidik mahasiswa menjadi seorang pegawai yang disenangi oleh semua pekerja kerana mereka pernah melalui kehidupan serba susah di sesebuah organisasi.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlulah memberikan pandangan kepada kerajaan sama ada wajar atau tidak intern dibayar dengan upah munasabah atau sedikit elaun.
Bagi saya, wajar syarikat dan organisasi ini memberi sedikit elaun atau upah untuk mereka mendapat pendedahan dan pengalaman pertama di alam pekerjaan. Kalau tidak, pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari hanya di bilik kuliah.
Di pihak pelajar pula, anggaplah intern adalah peluang menyesuaikan diri di alam pekerjaan dan menimba sebanyak mungkin pengalaman bekerja.
Anggaplah diri sebagai penuntut dan bukan pegawai yang merasakan diri bagus sangat, tidak ego dan berinteraksilah dengan pekerja lain secara sopan dan profesional.
Anggaplah organisasi tersebut sedang memerhatikan kebolehan anda dan mana tahu bakal dipilih untuk bekerja di situ setelah tamat pengajian nanti.
Walaupun mungkin ada menganggap kedatangan anda seperti angin berlalu pergi, cubalah jadikan diri anda seperti udara yang menyegarkan syarikat dan organisasi tersebut. – UTUSAN
PEKERJA BAWAHAN, Pahang