SAUDARA PENGARANG,
PADA 14 Julai lalu, terdapat dua berita utama dilaporkan media massa. Pertama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan melalui persidangan video dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX dan Tesla Inc., Elon Musk.
Kedua, kenyataan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed bahawa Malaysia bakal kekurangan 60 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Masalah itu boleh berlaku jika jumlah kemasukan pelajar aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah menengah terus berada di bawah 50 peratus seperti dicatatkan enam tahun berturut-turut sejak 2017.
Jumlah itu masih jauh daripada sasaran Kementerian Pendidikan (KPM) sebanyak 60 peratus pelajar terbabit dalam aliran STEM menjelang 2030.
Situasi ini sudah tentu menggusarkan memandangkan pelaburan Musk di Malaysia memerlukan ramai pekerja lulusan STEM yang pakar dalam internet kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.
Industri berasaskan sains dan teknologi tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan kita dan Musk yang juga orang terkaya di dunia adalah salah seorang peneraju dalam bidang tersebut.
Mahu atau tidak, satu dasar menarik pelajar supaya berminat dengan STEM perlu digubal dan segala program berkaitan aliran itu harus dimantapkan semula supaya sumber tenaga kerja kita tidak ketinggalan dalam arus perkembangan sains dan teknologi terkini.
KPM diharap menilai kembali Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 terutama enrolmen dan kemahiran dalam STEM termasuk mengukuhkan minat pelajar terhadap bidang itu.
Perlulah dibuat kajian punca pelajar kurang berminat dalam subjek berkaitan STEM. Jumlah tenaga pengajar yang berkebolehan mengajar subjek sains dan teknologi perlu ditingkatkan sejak sekolah rendah bagi memupuk minat murid ketika usia muda.
Peralatan di makmal sains sekolah harus ditambah baik dan pada masa sama, silibus perlu disusun semula supaya tidak membosankan.
Pelajar akan lebih tertarik jika kurikulum yang disediakan turut memberikan ruang untuk mereka terlibat dengan kerja di lapangan dan boleh menjalankan eksperimen menarik.
Selain itu, minggu sains sekolah perlu diadakan secara lebih kerap dan ciptaan pelajar dalam bidang STEM harus diberikan hadiah dan sijil penghargaan.
Guru yang terlibat dalam kelas sains hendaklah berkemahiran mengadaptasi teori-teori dalam buku teks dengan dunia nyata bagi meningkatkan kefahaman pelajar.
Galakkan semua pelajar membuat seberapa banyak eksperimen sains dan teknologi sama ada di dalam kelas atau sebagai hobi.
Tidak mustahil ada dalam kalangan mereka yang masih muda ini akan membuat penemuan teknologi baharu yang bermanfaat kepada manusia.
Pada masa sama, guru sains perlulah menjadi pendorong pelajar berminat kepada sains dengan mengubah kaedah penyampaian di dalam kelas supaya murid seronok untuk membaca buku teks sains.
Pelajar perlu mempunyai perasaan teruja apabila diarahkan guru untuk melakukan eksperimen sains yang diberikan dan golongan pendidik tidak harus lokek untuk memberi pujian jika projek sains yang dijalankan berjaya.
Apabila subjek Sains sudah menjadi sesuatu yang menghiburkan dan pelajar suka untuk mempelajarinya, maka kita sudah berjaya mengubah persepsi bahawa mata pelajaran itu adalah sukar dipelajari dan membosankan. – UTUSAN
SAINS ITU MENYERONOKKAN, Temerloh, Pahang