SAUDARA PENGARANG,
SISTEM politik berasaskan demokrasi negara-negara Eropah sudah diamalkan di negara kita sejak merdeka lagi. Masyarakat kita banyak berubah kerana pengamalan sistem politik demokrasi terbabit.
Namun, isu terus menghantui dunia politik kita ialah persoalan mengenai akhlak dan moral ahli politik yang masih bergelumang dengan gejala rasuah, salah guna kuasa dan tabiat-tabiat buruk lain seperti suka menipu rakyat dan putar belit kenyataan.
Di kebanyakan negara Barat dan beberapa negara di Asia seperti Jepun, ahli politik mereka sangat kuat berpegang kepada nilai moral dan etika yang menjadi budaya masyarakat.
Mereka lebih rela meletakkan jawatan jika melakukan apa-apa kesalahan atau tingkah laku yang tidak bermoral. Sebaliknya, ahli politik kita masih jauh daripada mengamalkan budaya politik seperti itu.
Kita masih mempertahankan orang yang terpalit dengan skandal rasuah, malah ada yang tetap dilantik memegang jawatan politik tertentu. Dalam pilihan raya, mereka yang telah tercemar dengan pelbagai salah guna kuasa tetap dipilih oleh rakyat.
Ahli politik kita lebih suka menabur janji kepada rakyat daripada menunaikannya. Putar belit politik masih menjadi amalan buruk segelintir ahli politik kita di mana mereka tidak suka berterus terang.
Kebanyakan ahli politik kita juga masih suka menuduh dan memfitnah tanpa mengemukakan bukti-bukti kukuh.
Sering kali juga ahli politik kita yang berbicara di pentas-pentas ceramah tentang nilai-nilai moral serta pentingnya berpegang kepada nilai integriti tetapi mereka jugalah yang menodainya.
Hakikatnya, dalam beberapa hal budaya politik, kita masih jauh berbeza dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain atau Jepun.
Walaupun asas sistem politik kita sama-sama mengamalkan sistem demokrasi dan pentadbiran moden, namun sikap, tingkah laku dan nilai-nilai moral politik yang kita amalkan masih lagi mundur. – UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas