SAUDARA PENGARANG,
MUTAKHIR ini, kita telah diperingatkan oleh banyak golongan tentang bahaya rasuah kepada sesebuah negara. Sedar atau tidak sedar, sebenarnya golongan yang mengambil rasuah ini boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan. Saya ambil contoh dari filem Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk Tiga Abdul.
Pertama, golongan seperti Abdul Wahab, bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia ambil, dia buat harta, golongan ini sangat bahaya. Kedua, golongan seperti Abdul Wahid, bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia tak ambil, tetapi dia tak buat laporan pada pihak berkenaan. Golongan ini pun sikit bahaya juga, sebab dia pentingkan diri.
Ketiga, golongan seperti Abdul Wahub, bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia tak ambil dan dia buat laporan pada pihak berkuasa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Inilah sebenarnya golongan yang wujud apabila ditawarkan rasuah.
Negara boleh hancur kerana rasuah. Pelajar sekolah rendah dan menengah harus diterangkan bahawa bahaya rasuah seumpama najis dadah.
Ini kerana kepimpinan negara suatu masa nanti akan terletak di atas bahu mereka. Jika kita mengajar asas agama Islam tentang hukuman berat bagi pengamal rasuah ini, saya percaya bakal-bakal pemimpin muda kita di masa hadapan tidak akan terlibat dengan gejala rasuah ini.
Jangan tidak percaya, negara pun boleh dijual jika rasuah menjadi budaya di Malaysia. Katakan tidak kepada rasuah!
Akhir sekali, tangkap juga orang yang menawarkan rasuah, sekiranya siasatan mendapati dia memang memberi rasuah kerana untuk keuntungan dirinya.
Tetapi dia tidak perlulah dihukum sekiranya tujuan memberi rasuah adalah untuk memerangkap pihak yang kaki rasuah. Hancur negara kerana rasuah. Rasuah bermacam rasuah. Hanya iman yang kuat boleh menolak rasuah. – UTUSAN
IMANULLAH IBNU ARASY DZIKRULLAH, Kepala Batas, Pulau Pinang