MUDA kena pikat orang tua juga - Utusan Malaysia

MUDA kena pikat orang tua juga

AIR liur sahaja tidak cukup untuk membolehkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memenangi kerusi pada enam PRN tidak lama lagi. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBUAH pasukan bola sepak baru sahaja menjuarai satu kejohanan besar. Untuk mengukuhkan pasukan, pihak pengurusan merekrut pemain-pemain baharu yang berpengalaman dan muda.

Dalam masa terdekat, pasukan tersebut akan menyertai satu kejohanan bola sepak kecil yang akan menguji reputasi skuad itu di mata para pemerhati, penyokong dan pihak lawan.

Namun, pemain muda dalam pasukan seolah-olah disisihkan dan tidak diberi peluang untuk beraksi dalam kejohanan kecil tersebut.

Oleh kerana tidak mahu diperam macam pekasam, pemain muda meninggalkan pasukan tersebut lalu menubuhkan skuad mereka sendiri untuk bersaing dalam kejohanan bola sepak kecil itu.

Mereka tidak menyertai pasukan lawan kerana ingin menghormati skuad asal. Itulah satu analogi daripada saya untuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ketika ini.

Saya menyokong jika MUDA ingin bertanding secara solo pada enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Inilah masanya untuk MUDA menduga lautan dalam dengan kail panjang sejengkal seperti dilabelkan oleh beberapa pihak.

Lagipun, sampai bila MUDA hendak terperuk di ‘dapur’ Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) sebagai anak angkat? Ada pihak mengatakan, penyertaan MUDA dalam PRN kali ini akan memecahbelahkan undi.

Sebenarnya pengundi yang tidak berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) mahupun PH-BN inginkan satu parti atau gabungan alternatif.

Jika tiada alternatif, kemungkinan besar mereka di atas pagar ini mengundi calon Bebas, merosakkan undi atau tidak keluar mengundi sebagai tanda protes.

Bagaimanapun, langkah MUDA ini mempunyai cabaran tersendiri. Ini kerana tidak ramai anak muda berminat dengan politik dan mengundi dalam pilihan raya.

Dalam situasi sekarang, anak muda lebih memikirkan tentang melanjutkan pengajian, mencari pekerjaan, membantu keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup.

Politik yang lebih kepada ‘pung-pang’ dan ‘hoo-hah’ mengelirukan pemikiran anak muda. Fitnah, saman, kutuk dan janji palsu merupakan antara sikap politikus yang menyebabkan anak muda menjauhi politik.

Hal ini merupakan antara cabaran kepada MUDA untuk memikat anak muda menjadi ahli parti dan mengundi calonnya pada PRN nanti.

Di atas kertas, MUDA tidak mempunyai dana dan penaja besar untuk bersaing dengan parti dan gabungan lain dalam PRN nanti.

Tambahan pula, MUDA tidak boleh hanya bergantung kepada undi orang muda untuk menang, hati orang tua juga perlu ditawan.

Oleh itu, para pemikir yang menyusun strategi MUDA perlu memerah otak dan memercikkan keringat untuk merealisasikan impiannya menjadi parti yang relevan dan berpengaruh. Air liur sahaja tidak cukup untuk memenangi kerusi.

MUDA perlu menyasarkan menang dua buah kerusi di setiap negeri pada PRN kali ini. Jika berjaya, MUDA mungkin akan menjadi penentu atau kingmaker.

Jika MUDA tewas dalam PRN nanti, jangan kecewa dan berputus asa. Teruskan perjuangan kerana para pemimpinnya masih muda dan mempunyai banyak masa untuk menjadi lebih matang dan berpengaruh. – UTUSAN

MARISSA QT, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya