SAUDARA PENGARANG,
KAJIAN oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menunjukkan terdapat lima faktor menyebabkan graduan sukar mendapat pekerjaan.
Ia melibatkan soal kekurangan kemahiran dan pengalaman kerja, ketidaksepadanan antara keperluan industri dengan bidang pengajian graduan dan kurang keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik terutama dalam bahasa Inggeris.
Faktor lain adalah sikap negatif sesetengah graduan terhadap pekerjaan dan kurangnya kesedaran tentang kewujudan pelbagai peluang pekerjaan.
Dalam aspek kekurangan kemahiran dan pengalaman kerja, pada era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, pekerja bukan sahaja perlu memiliki segulung ijazah atau diploma mahupun sijil, akan tetapi perlu juga mempunyai kemahiran.
Kemahiran ini termasuk kepimpinan, proaktif, berfikiran kreatif dan kritis.
Satu lagi komponen wajib ialah latihan industri atau dikenali juga sebagai praktikal.
Latihan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada mahasiswa tentang dunia pekerjaan yang bakal ditempuh selepas tamat pengajian.
Latihan industri adalah platform untuk mahasiswa mempraktikkan ilmu dan teori yang dipelajari sepanjang pengajian untuk dinilai oleh penyelia dari industri diceburi.
Selain itu, latihan industri turut berperanan mengukuhkan kemahiran mahasiswa bukan sahaja dalam bidang pengajian yang dipelajari, malah kemahiran lain turut sama penting dalam kelangsungan kehidupan mereka sebaik sahaja tamat pengajian di universiti.
Salah satu kemahiran penting perlu dibawa bersama mahasiswa ke sesi latihan industri ialah kemahiran insaniah, iaitu kebolehan membina hubungan dengan diri sendiri dan persekitaran.
Komunikasi yang baik antara mahasiswa dengan majikan dan juga staf-staf lain di tempat latihan industri adalah penting. Penggunaan bahasa sopan dan jelas membantu mahasiswa untuk memahami persekitaran kerja dan seterusnya berhubungan dalam melaksanakan tugasan sepanjang latihan ditetapkan.
Selain itu, kebolehan untuk bekerjasama, menerima arahan dan seterusnya melaksanakan tugasan secara berpasukan sangat penting untuk diamalkan dalam sesebuah organisasi.
Oleh itu, mahasiswa dituntut memainkan peranan sebagai ahli pasukan yang berkomitmen tinggi bukan sahaja sepanjang latihan industri malah apabila menceburi dunia pekerjaan sebenar kelak.
Kemahiran insaniah lain adalah kebolehan menjaga perhubungan dengan orang Iain. Hubungan baik sesama staf di tempat kerja akan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan memupuk semangat setiakawan tinggi.
Mahasiswa perlu memastikan mereka cuba sehabis baik mewujudkan hubungan baik dengan semua staf sepanjang tempoh latihan ditetapkan.
Para pensyarah dianjurkan untuk menerapkan seterusnya menggilap kemahiran ini dalam kalangan pelajar supaya mereka sedar kepentingan dan keperluan kemahiran insaniah ini untuk dikuasai.
Pihak universiti juga boleh mengambil bahagian dengan penganjuran pelbagai aktiviti untuk memberikan pendedahan awal kemahiran insaniah kepada mahasiswa.
Selain itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan menyokong usaha murni bagi menerapkan kemahiran terbabit demi kebaikan dan masa depan anak-anak yang disayangi.-UTUSAN
NURSYUHADA’ AB. WAHAB
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)