Memandu di Cameron Highlands sangat uji kesabaran - Utusan Malaysia

Memandu di Cameron Highlands sangat uji kesabaran

DI kawasan jalan berselekoh di Cameron Highlands, para pemandu perlu lebih berhati-hati. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MELAWAT ke Cameron Highlands bersama sekumpulan sahabat warga emas dari Perlis baru-baru ini, benar-benar mengajar saya dan rakan-rakan erti kesabaran dan sifat lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan.

Walaupun kami tidak memandu sendiri, sekadar penumpang sebuah van pelancongan yang disewa, namun sepanjang masa berada di dalam kenderaan tersebut, banyak pengalaman dilalui.

Semuanya mengajar kami terutama pemandu van supaya lebih banyak bersabar. Ketika melalui jalan berbukit untuk ke destinasi, pemandu harus berhati-hati sepanjang masa kerana banyak kenderaan berat seperti bas dan lori menggunakan jalan berselekoh tersebut.

Para pemandu perlu juga berhati-hati kerana ada juga tempat berlaku tanah runtuh yang keadaannya agak berbahaya terutama jika memandu semasa hujan lebat atau malam hari.

Keresahan berada dalam kenderaan tidak hilang di situ sahaja walaupun setelah sampai ke hotel atau inap desa kerana kesabaran sekali lagi diuji semasa hendak melawat tempat-tempat menarik terdapat di Cameron Highlands.

Antaranya ladang-ladang teh dan strawberi di samping menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman di restoran serta gerai makan.

Untuk sampai ke tempat-tempat tersebut, kesabaran pemandu kenderaan diuji lagi apabila jalan yang perlu dilalui bukan sahaja sempit, malah berbukit dan banyak selekoh.

Bagi pemandu berhemah, mereka memandu perlahan dan membunyikan hon di kawasan berselekoh.

Ramai juga pemandu kenderaan memandu laju dengan tidak membunyikan hon walaupun berada di selekoh tanpa menghiraukan keselamatan pengguna kenderaan lain.

Di sini saya ingin mengingatkan para pemandu kenderaan agar memandu secara berhemah di tempat-tempat berbahaya.

Kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), mana-mana tempat ada ruang, bolehlah dilebarkan sedikit jalan untuk memudahkan kenderaan yang berselisih. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya