Mahasiswa berhijrah minda tahan dibadai tekanan - Utusan Malaysia

Mahasiswa berhijrah minda tahan dibadai tekanan

MAHASISWA yang mengalami hijrah minda lebih mudah bergaul dan menjadi ahli komuniti bertanggungjawab. – GAMBAR HIASAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 19 Julai lalu diadakan sambutan Maal Hijrah. Ia bukan sekadar memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Mekah ke Madinah, sebaliknya membuahkan hikmah cukup besar apabila kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan.

Susulan peristiwa hijrah itu juga menyaksikan takwim Islam mula diperkenalkan. Sempena tahun baharu Islam ini, para mahasiswa juga perlu berhijrah dari segi minda.

Ia merujuk kepada perubahan atau transformasi minda seseorang pelajar universiti ke arah yang lebih baik. Istilah hijrah itu sendiri berasal daripada bahasa Arab bermakna perpindahan atau perubahan ke arah lebih baik.

Sebagai pelajar universiti, proses hijrah minda ini adalah penting kerana ia membantu seseorang untuk berkembang secara holistik dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia melibatkan peningkatan dalam pemikiran, sikap, nilai dan kehidupan secara keseluruhan.

Cabaran yang ada di dunia ketika ini memerlukan seseorang untuk berani mengambil keputusan tepat dan sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi perkembangan sains dan teknologi yang sangat mempengaruhi corak kehidupan.

Sekiranya pelajar tidak peka atau lambat bertindak terhadap perkembangan di sekeliling, impaknya amat besar. Jatuh bangun sesebuah negara boleh terkesan jika generasi pelapis negara memandang enteng terhadap perkembangan semasa.

Hijrah minda membantu mahasiswa meningkatkan kesedaran diri tentang kelemahan dan kekuatan mereka. Mereka mula mengenali kelemahan dan bekerja untuk memperbaikinya sambil memanfaatkan kekuatan untuk mencapai matlamat akademik dan peribadi.

Mahasiswa harus bersifat terbuka dan mengakui kelemahan yang ada. Jangan jadi angkuh cuba menafikan kelemahan sedia ada. Transformasi minda mahasiswa juga membawa kepada peningkatan prestasi akademik.

Pelajar yang mengalami penghijrahan minda adalah lebih fokus, berdisiplin dan memiliki motivasi tinggi untuk belajar. Pelajar universiti yang mengalami hijrah minda biasanya lebih proaktif dalam mencari peluang untuk mengembangkan kemahiran ini.

Hijrah minda juga melibatkan peningkatan dalam hubungan sosial dan interaksi pelajar dengan rakan sebaya, pensyarah dan individu lain dalam komuniti universiti.

Pelajar yang mengalami hijrah minda lebih mudah bergaul, membina hubungan sihat dan menjadi ahli komuniti bertanggungjawab. Selain itu, hijrah minda juga boleh membantu mahasiswa menguruskan tekanan dan menangani kesihatan emosi mereka.

Mereka mungkin lebih bersedia untuk mencari bantuan jika menghadapi cabaran emosi seperti kecemasan atau kesepian serta boleh membantu menguruskan emosi.

Hijrah minda pelajar universiti adalah proses berterusan melibatkan komitmen diri untuk pembangunan peribadi. Tidak dinafikan, proses penghijrahan bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan seperti ia senang dilafazkan.

Ia harus diiringi dengan niat dan tekad yang gigih. Lantaran itu, sempena sambutan Maal Hijrah 1445, ayuh semua mahasiswa, kita mulakan langkah penghijrahan. Tinggalkan yang lama, dakaplah sesuatu yang baharu dan lebih baik. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI dan DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya