SAUDARA PENGARANG,
TERLEBIH dahulu tahniah diucapkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mengambil keputusan tegas, bijak dan berani untuk bergerak secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk daripada penyokong parti itu.
MUDA adalah sebuah parti baharu dalam arena politik negara. Kehadiran parti itu memberi sedikit harapan kepada kebanyakan rakyat untuk membawa pembaharuan dalam proses pentadbiran negara memandangkan parti ini dianggotai oleh orang muda.
Diharapkan MUDA dapat terus bergerak secara bebas dan tidak melekatkan diri dengan mana-mana parti politik sedia ada kerana akan memudahkan urusan mereka membawa pembaharuan kepada negara serta memenuhi harapan banyak pihak untuk melihat kemunculan sebuah kuasa baharu atau kuasa ketiga.
Parti-parti politik sedia ada sudah lama bertapak. Idea dan matlamat mereka pun dilihat makin hari makin tidak selari dengan cita rasa dan kehendak generasi masa kini.
Walaupun sukar untuk mana-mana parti politik baharu memulakan langkah tetapi diharapkan ia dapat memberi pilihan dan harapan baharu dalam pentadbiran negara.
Ini kerana generasi muda terlibat dalam parti itu memiliki idea serta matlamat baharu yang dilihat sesuai dengan cita rasa dan kehendak generasi masa kini.
Justeru, langkah untuk bergerak solo akan terus berkekalan walaupun berdepan pelbagai cabaran di masa depan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)