SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan pelawat dari China ditahan Jabatan Imigresen tanpa iringan dan sokongan daripada ketua setiausaha (KSU) kementerian itu disifatkan agak kurang profesional.
Sewajarnya menteri tersebut berbincang atau melaporkannya terus kepada Menteri Dalam Negeri untuk tindakan lanjut. Beliau juga tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan keselamatan negara.
Adakah tindakan ini dilakukan atas dasar kepentingan negara atau mempunyai matlamat peribadi? Tanda soal ini perlu dijawab dengan lebih jelas agar rakyat dapat memahami niat sebenar sebelum mereka membuat tafsiran liar.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpendapat, wujud maksud tersirat di sebalik kontroversi tindakan tersebut walaupun terdapat dakwaan mengenai amalan rasuah serius melibatkan pegawai imigresen.
MCW mendesak menteri tersebut memberikan penjelasan lebih berasas dan bukan cuba mengalih perhatian rakyat dengan mempolitikkan isu rasuah di KLIA.
Dalam pada itu, sekiranya benar terdapat dakwaan mengenai permintaan suapan oleh pegawai imigresen, perkara ini sepatutnya dilaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan wujud siasatan yang profesional dan tegas.
Selain itu, faktor keselamatan di lapangan terbang harus diberi keutamaan kerana ia adalah pintu masuk utama bagi pengunjung asing yang sah ke negara ini.
Keselamatan lapangan terbang tidak boleh dikompromi semata-mata demi memajukan industri pelancongan. MCW berpendapat, menteri terbabit seharusnya tidak campur tangan dalam urusan pegawai imigresen.
Tugas mereka adalah untuk memeriksa kedatangan pengunjung berdasarkan faktor keselamatan yang tidak boleh dikompromi. – UTUSAN
JAIS ABDUL KARIM, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)