SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT tiga negara imigran di dunia, iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Australia. Di negara terbabit, penduduk peribumi tidak menguasai pentadbiran negara, mereka ditindas dan dibiarkan miskin di tanah kelahiran nenek moyang.
Malah, ada yang ditempatkan di kawasan penempatan khusus untuk dijadikan tarikan pelancong. Walaupun ketiga-tiga negara ini dikuasai imigran tetapi ia didominasi oleh imigran berkulit putih sahaja kerana mereka kaya dan lebih maju.
Dalam pada itu, kebanyakan ketua negara dari Kesatuan Eropah (EU) bukan negara imigran tidak menyokong konsep kepelbagaian budaya, malah mereka mengisytiharkan konsep ini sebagai sesuatu yang gagal.
Di antara negara yang kuat menolak konsep ini ialah Britain dan Perancis. Jika hendak menjadi penduduk negara itu, hendaklah bertutur menggunakan bahasa kebangsaan dan hidup seperti budaya rakyat negara terbabit.
Jelas, pemerintah di negara berkenaan tidak menerima konsep kepelbagaian budaya. Mereka juga tidak menerima konsep integrasi sebaliknya asimilasi dirasakan pilihan paling sesuai bagi mereka.
Sebenarnya, konsep kepelbagaian budaya ini tidak lain hanya untuk menjaga kepentingan kaum minoriti sedangkan negara berasaskan identiti nasional adalah menjurus kepada kewujudan kaum majoriti anak watan yang dominan.
Jika orang Melayu menerima konsep negara pelbagai budaya, tidak mustahil ia adalah pengakhir sejarah Melayu akan sama dengan nasib peribumi di AS dan Australia.
Kajian kontemporari menunjukkan sejarah dan warisan budaya kumpulan kewatanan asal akan terus kekal dan menjadi pasak pembinaan bangsa, walaupun menerima aneka kepelbagaian.
Oleh itu, dengan merujuk kepada peruntukan sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan, ditambah sejarah kegagalan konsep kepelbagaian budaya, maka dapat disimpulkan konsep itu tidak mungkin dapat diterima apatah lagi untuk berjaya jika diguna pakai di Malaysia. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air