SAUDARA PENGARANG,
BENAR, ucapan terima kasih itu adalah budaya sangat mulia yang harus diamalkan. Namun, mengapa masyarakat kita terutama anak muda pada hari ini begitu susah untuk menyebut ucapan terima kasih?
Mengapa mereka susah sangat ingin menyebutnya walhal perkataan itu tidak sukar untuk disebut. Tambah pula saya rasa budaya berterima kasih ini sudah dididik sejak kecil lagi.
Mungkin ada sesetengah yang memandang remeh dengan ucapan itu, namun ia memberi impak sangat bermakna terhadap si penerima ucapan terima kasih.
Di samping itu, Malaysia terkenal dengan budaya memberi ucapan terima kasih. Jadi, kita mestilah mengamalkan budaya tersebut dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh, apabila emak menyediakan makanan untuk kita makan, sebagai seorang anak seharusnya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana bersusah payah di dapur menyiapkan hidangan.
Bukankah situasi seperti itu memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan? Cuba fikir sejenak, betapa hebatnya nilai ucapan terima kasih.
Sebagai contoh lain, isteri mengucapkan terima kasih kepada suami yang menolongnya menyidai pakaian dan ucapan terima kasih itu didengari oleh anaknya.
Situasi ini secara tidak langsung dapat memberi contoh teladan kepada anak. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Ucapan terima kasih itu bagi saya bukan suatu perkara yang sukar untuk diungkapkan jika budaya itu sudah menjadi kebiasaan.
Namun, bagi individu yang tidak melatih diri untuk biasakan diri mengucapkan terima kasih, ia mungkin agak sukar. Oleh itu, setiap orang perlu melatih diri untuk mengucapkan terima kasih walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Perkara ini hampir sama dengan keadaan apabila ibu bapa yang ingin melatih anak-anak belajar makan sendiri, ia memerlukan masa untuk dibiasakan dalam kehidupan seseorang. – UTUSAN
ANIS SOLIHAH MUHAMAD RIADZ, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)