Kenang jasa pendidik bukan bertujuan bodek - Utusan Malaysia

Kenang jasa pendidik bukan bertujuan bodek

TIDAK salah mengenang jasa pendidik yang banyak berkorban memimpin kejayaan seseorang dengan pemberian cenderahati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEORANG pelajar perlu sentiasa mengingati jasa warga pendidik sama ada ketika zaman persekolahan atau di universiti kerana mereka merupakan insan yang banyak membentuk keperibadian kita.

Bagaimanapun, perubahan zaman banyak mengubah persepsi tentang pemberian penghargaan kepada golongan pendidik yang dianggap membodek.

Walaupun ucapan terima kasih sudah mencukupi buat golongan pendidik, namun tidak salah sekiranya memberi sedikit cenderahati sebagai penghargaan kepada mereka yang bertanggungjawab membantu kejayaan dikecapi kita hari ini.

Selain membentuk sahsiah insan yang cemerlang buat pelajar, golongan ini juga mempunyai misi penting dalam mendidik pelajar menjadi orang yang bertamadun di samping memastikan mereka menguasai ilmu pengetahuan.

Dengan mengenang budi para pendidik, tidak dapat dinafikan seseorang mempunyai potensi lebih tinggi untuk berjaya. Ini kerana selain doa daripada kedua-dua ibu bapa, doa pendidik paling mustajab. Ini juga antara penyebab pelajar memperoleh ilmu yang berkat.

Oleh itu, sebagai pelajar atau bekas pelajar, kita mesti sentiasa mengingati dan mengenang jasa pendidik. Walaupun mungkin pada hari ini anda telah berjaya, namun jangan sesekali pernah bersikap angkuh kerana siapalah kita tanpa para pendidik.

Ambillah sedikit masa untuk bertanya khabar kepada mereka yang sudah lama tidak berjumpa atau menjenguk mereka yang masih ada agar kita sentiasa mengenang jasa golongan pendidik yang tidak ternilai. – UTUSAN

ONG QI FEI, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya