SAUDARA PENGARANG,
PELAKSANAAN Perintah Gaji Minimum (PGM) sebanyak RM1,500 melibatkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Berdasarkan keputusan diumumkan kerajaan sebelum ini, penguatkuasaan tersebut ditangguhkan selama enam bulan berbanding tarikh awal yang ditetapkan, iaitu 1 Januari lalu.
Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang bermula pada 1 Mei 2022 pula membabitkan majikan yang mengambil lima orang pekerja atau lebih.
PGM ini terpakai kepada semua pekerja di sektor swasta yang bekerja di bawah satu kontrak perkhidmatan kecuali perkhidmatan domestik (pembantu rumah, tukang kebun dan tukang masak dalam rumah persendirian).
Kontrak perkhidmatan ertinya apa-apa perjanjian sama ada secara lisan atau bertulis dan sama ada nyata atau tersirat yang menurutnya seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seorang yang lain sebagai pekerja tetapi tidak termasuk kontrak perantisan.
Penetapan gaji minimum baharu ini adalah penting supaya setiap lapisan rakyat dapat mengharungi kos sara hidup yang meningkat.
Oleh itu, kita harus memastikan setiap majikan menghormati dan melaksanakan perintah gaji minimum yang baharu ini.
Terdapat pelbagai isu melibatkan pelaksanaan PGM di mana ada sesetengah pekerja mengadu yang majikan mereka masih belum sedia untuk melaksananya.
Terdapat sesetengah majikan pula bertindak memotong elaun dan faedah sedia ada bagi menampung kenaikan kos akibat pelaksanaan gaji minimum baharu.
Gaji minimum ialah gaji pokok yang tidak termasuk elaun, insentif atau apa-apa bayaran tambahan kepada pekerja.
Mana-mana pekerja yang merasakan diri mereka teraniaya serta tidak mendapat hak sepatutnya perlu membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja dan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan segera. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)