SAUDARA PENGARANG,
KAMPUNG Sungai Penchala, salah satu daripada enam kampung Melayu yang masih kekal di Kuala Lumpur sedang berada di ambang perubahan besar.
Sebuah syarikat pemaju swasta berhasrat untuk melaksanakan projek pembangunan berskala besar di atas enam bidang tanah rizab Melayu seluas 2.82 hektar di situ.
Ini menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat. Seperti kita sedar, pembangunan tidak hanya merangkumi pembinaan infrastruktur fizikal tetapi juga boleh memberi kesan dari sudut sosial dan budaya.
Apa sebenarnya yang kita ingin lihat di Kampung Sungai Penchala dalam jangka masa lima, 10 atau 50 tahun akan datang?
Pembangunan infrastruktur adalah penting tetapi ia perlu diimbangi dengan pemuliharaan sejarah dan budaya.
Kampung ini memerlukan pemulihan infrastruktur yang lebih bersepadu melibatkan sistem bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Sehingga hari ini, kampung ini tidak mempunyai loji rawatan kumbahan. Ditambah pula isu kesesakan lalu lintas dan kurangnya tempat letak kereta.
Adakah pihak pemaju akan memperbaiki keadaan ini atau hanya menambah beban kepada sistem yang sudah sedia terbeban?
Kegagalan untuk merancang dan melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada akan menyebabkan berlaku banjir dan pencemaran.
Untuk mengelak masalah berterusan, penduduk setempat dan persatuan penduduk harus diberi berpeluang untuk berkongsi visi dan harapan mereka untuk masa depan kampung masing-masing?
Pelbagai cadangan seperti dibina medan selera, padang bola, tempat rekreasi dan dewan serba guna bagi kegunaan masyarakat pernah disuarakan sebelum ini, namun tidak mendapat sebarang reaksi daripada pihak berkuasa tempatan.
Pembangunan ini harus dipandang sebagai peluang untuk memperbaiki infrastruktur Kampung Sungai Penchala dengan menjaga keseimbangan antara keperluan moden dan kepentingan pemeliharaan warisan sejarah serta budaya. – UTUSAN
MAHATHIR MOHD. RAIS, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan