Kalau tak faham politik, macam mana nak buat pilihan bijak? - Utusan Malaysia

Kalau tak faham politik, macam mana nak buat pilihan bijak?

PILIHAN RAYA negeri (PRN) bagi enam negeri pada 12 Ogos ini boleh menjadi platform bagi anak muda peka hal berkaitan politik negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERPANGGIL untuk saya berbicara berkaitan pengetahuan politik dalam kalangan anak muda yang sudah menjangkau usia lebih 18 tahun dan sudah pun layak untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi.

Pastinya kita sudah melihat senario politik yang berlaku di negara ini sama ada diuar-uarkan di dada akhbar mahupun disiarkan di kaca televisyen.

Umum mengetahui pada tanggal 19 November tahun lalu, Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan sejarah sulung negara tercipta apabila berdepan situasi Parlimen tergantung.

Berikutan situasi tersebut, ramai pihak melontarkan pendapat dan pandangan di media sosial sama ada daripada orang ramai, juga tidak terkecuali wartawan yang sentiasa menyajikan kemaskini berita sehinggalah pada 24 November, ketika terbentuk kerajaan perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Daripada situasi ini, anak muda seperti saya berpandangan amatlah penting untuk kita menerapkan pemahaman terhadap pendidikan politik secara menyeluruh bagi menjadikan generasi masa kini lebih bijak dalam membuat pilihan demi masa depan negara yang lebih cerah.

Baru-baru ini juga kita dengar beberapa negeri mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Dengan pengumuman pembubaran DUN ini, maka ia membuka laluan bagi pilihan raya negeri (PRN) di kesemua enam negeri pada 12 Ogos ini.

Ini merupakan satu medium atau platform anak muda dan belia di luar sana untuk mengetahui perjalanan politik negara dengan lebih mendalam dan menyeluruh agar daya pengetahuan politik dalam kalangan masyarakat sentiasa tersemat dalam sanubari.

Semoga ini menjadi wadah anak muda untuk memupuk kepekaan mengambil maklum senario yang berlaku dalam kancah politik negara tercinta ini. – UTUSAN

AHMAD ADNIN HUSIN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya