SAUDARA PENGARANG,
ISU kekurangan bilangan pelajar mendaftar bagi memasuki aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang berada di bawah 50 peratus sejak 2017 perlu ditangani sewajarnya oleh kerajaan.
Punca dan faktor pada isu ini seharusnya diperhalusi segera kerana subjek teras seperti Matematik dan Sains adalah tulang belakang kepada disiplin lain.
Pengajaran dan pembelajaran di kebanyakan sekolah masih dominan kepada latih tubi dan penyampaian konsep berpusatkan guru. Kaedah tersebut tidak dapat membantu menarik minat pelajar bagi mempelajari STEM.
Ini kerana telah banyak kajian dijalankan menunjukkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran STEM harus bersifat aktif dan integrasi melibatkan semua subjek.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya menambah baik latihan guru agar seiring dengan penggubalan dan perubahan dalam kurikulum dan sistem pentaksiran terkini.
Latihan profesional seharusnya berkala bagi memantapkan kompetensi guru supaya seimbang dengan peredaran zaman dan bersesuaian dengan cara didikan generasi baharu.
Selain itu, bebanan kerja di sekolah yang rencam menyukarkan guru membuat penambahbaikan pada tugas hakiki sebenar mereka sebagai pemudah cara pembelajaran.
Ramai guru berada dalam keadaan dilema kerana menggalas tugas pentadbiran dan terlibat dengan aktiviti luar sekolah yang secara tidak langsung mempengaruhi fokus mereka di sekolah.
Guru seharusnya memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini ibarat tentera yang mempunyai perisai lengkap untuk berjuang di medan peperangan.
Semoga sasaran 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030 dapat dicapai dan mampu menyalurkan tenaga profesional tempatan mencukupi untuk pembangunan negara mampan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. ROSLINDA ROSLI, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)