SAUDARA PENGARANG,
KENYATAAN bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ selain berpendirian mahu menjadikan kerajaan berkonsepkan berbilang kaum selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti kedengaran cukup merdu. Namun, alunannya agak songsang kerana DAP sendiri bukanlah sebuah parti yang bebas serta bersih.
Disebabkan dakwaan unsur rasuah, bekas Naib Pengerusi DAP, Allahyarham Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim meninggalkan parti.
Malah, kita boleh ambil contoh mudah, apakah pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang ditunjangi DAP semenjak 2008 tidak berlaku elemen rasuah sehingga menyebabkan seorang Ketua Menteri ketika itu ditahan di pejabat serta didakwa di mahkamah tinggi atas tuduhan rasuah?
Rakyat Pulau Pinang juga tidak lupa bagaimana tiga lot tanah kerajaan yang juga hak milik rakyat di Tanjung Tokong bernilai ratusan juta ringgit didakwa dipindah milik kepada sebuah syarikat konsortium swasta sebagai sebahagian daripada bayaran kos kajian awal projek terowong dasar laut yang kini sedang dalam kes mahkamah tinggi ekoran tersangkut elemen rasuah.
Jika Tony terus mendabik dada untuk tidak membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam PRU16 selain mahu membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, maka lebih baik DAP yang dianggap sebuah parti bersih berundur dari kerajaan perpaduan serta menjadi pembangkang yang madani.
Titah Yang di-Pertuan Agong amat jelas supaya kerajaan perpaduan mesti utuh dalam kalangan parti komponennya tetapi apa yang berlaku hanya sekadar indah khabar dari rupa, malah lebih mirip kepada unsur tikam dari belakang.
Inilah akibatnya bila sandiwara politik dijadikan keutamaan sehingga maruah parti diperdagangkan.
Tidak salah jika diwujudkan perhitungan semula secara ukhuwah dengan menggabungkan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO selepas pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri kelak
walau apapun situasi yang berlaku.
Sekalipun Setiausaha Agung DAP. Anthony Loke menjelaskan bahawa kenyataan berkenaan tidak mewakili parti, namun ia adalah amalan biasa oleh kepimpinan parti itu.
Inilah bahayanya jika wujud lantikan jawatan sebagai penasihat dasar (yang tiada dalam klausa perlembagaan parti) sehingga bertindak lebih sudu dari kuah.
Justeru, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) wajar menegur isu ini kerana setiap perlembagaan parti politik tertakluk di bawah kelulusan agensi berkenaan.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis Politik