SAUDARA PENGARANG,
SISTEM pembelajaran hibrid dan jadual anjal yang bakal diperkenalkan bermula sesi akademik 2023/2024 akan memberi dimensi baharu kepada sistem pendidikan tinggi negara.
Inisiatif yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk memilih kaedah proses pengajaran dan pembelajaran yang bakal mereka tempuhi.
Setakat ini, sebanyak 95 program pengajian ijazah sarjana muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam di seluruh negara bersedia melaksanakan pembelajaran anjal ini.
Antara kaedah pembelajaran hibrid yang dihasratkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ialah pembelajaran dua tahun di universiti dan dua tahun di rumah.
Melalui kaedah itu, mahasiswa bukan sahaja mampu menyusun aktiviti seharian, malah boleh menjimatkan kos sara hidup dan meningkatkan kreativiti mereka dengan menceburi bidang lain ketika masih belajar.
Mereka boleh bekerja sambilan atau meningkatkan kemahiran insaniah kendiri dengan menyertai pelbagai program di luar kampus.
Diharapkan institut pengajian tinggi tempatan dapat menyahut inisiatif KPT ini dengan tindakan segera kerana ia juga akan turut menjadi daya penarik kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneruskan pelajaran.
Inisiatif ini sangat signifikan pada masa depan mahasiswa kerana kini kelayakan akademik semata-mata sudah tidak mampu untuk menjamin seseorang mendapat tempat dalam dunia pekerjaan kerana perlu disulami kemahiran-kemahiran lain.
Kemahiran insaniah seperti komunikasi, pemikiran kritis, kepemimpinan dan penyelesaian masalah boleh diraih menerusi pembabitan pelbagai aktiviti sama ada di dalam atau luar kampus.
Sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal membolehkan pelajar mempunyai masa lebih fleksibel untuk mereka meningkatkan segala kemahiran tersebut.
Dalam konteks pendidikan tinggi global pula, inisiatif ini akan mampu menarik minat pelajar antarabangsa terbaik untuk menyambung pengajian di Malaysia kerana keberadaan mereka hanya diperlukan dua tahun di sini dan selebihnya di negara masing-masing.
Berdasarkan pengalaman Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam siri lawatan ke luar negara, masyarakat global memang berminat untuk menyambung pengajian ke Malaysia disebabkan faktor kualiti pendidikan tinggi, kos sara hidup dan keselamatan.-UTUSAN
PROFESOR DATUK DR. MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Ketua Pegawai Eksekutif
Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)