SAUDARA PENGARANG,
PROGRAM Penyelidikan Auroral Aktif Frekuensi Tinggi (HAARP) yang dibina pada 1993 di Gakona, Alaska bertujuan mengkaji ionosfera, iaitu lapisan atmosfera bumi bermula dari 70 atau 80 kilometer di atas permukaan bumi dengan menggunakan alat pemancar sinaran ultra ungu menyebabkan perubahan gelombang radio di samping menaik taraf alat komunikasi untuk tujuan pemantauan dan ketenteraan.
Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dengan kerjasama Tentera Udara AS, University of Alaska Fairbanks (UAF) dan Agensi Projek Kajian Lanjutan Pertahanan (DARPA) berkolaborasi dalam membiayai kos penciptaan teknologi tersebut.
Berdasarkan kajian penyelidik AS, pelbagai penemuan baharu berjaya direkodkan seperti imej garisan oksigen merah berukuran 630 nanometer (nm) yang mendedahkan tompok kecil secara berkala seiring kadar pemanasan teknologi HAARP, sekali gus membuktikan teknologi ini berupaya untuk mengganggu aliran oksigen melalui pemanasan elektron, seterusnya dapat mengawal gelombang frekuensi perhubungan pada alat komunikasi.
Malah, sistem menaik taraf teknologi komunikasi berfrekuensi tinggi seperti radio kapal selam dan pengesan bunker tersembunyi untuk menjadi lebih efektif.
Walaupun hasil penerokaan HAARP adalah positif dan memuaskan, namun hakikatnya masyarakat global tidak mampu menerima kenyataan ini malah mula menzahirkan pelbagai teori konspirasi buruk dengan mendakwa teknologi berkuasa tinggi ini untuk mengubah cuaca dan bencana alam.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Turkiye dan Syria dikejutkan dengan bencana gempa bumi yang mengorbankan puluhan ribu orang. Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye melaporkan, lebih 243 gegaran susulan berlaku di wilayah sempadan negara tersebut sehingga mewujudkan teori konspirasi.
Bagi saya, gempa bumi yang berlaku tiada kaitan langsung dengan teknologi HAARP kerana pada dasarnya tujuan mesin ini diwujudkan adalah untuk mengkaji lapisan atas atmosfera bumi dan bukan di dasar laut atau kerak bumi. Sekiranya benar HAARP bertanggungjawab dengan pengawalan bencana alam, maka kejadian ribut taufan, kemarau dan hujan lebat berpanjangan adalah antara bencana alam yang logik untuk dipersoalkan.
Justeru, hentikan mengaitkan teknologi HAARP ini dengan teori konspirasi negatif yang tidak mendatangkan sebarang manfaat untuk kemaslahatan manusia.-UTUSAN
NURUL FATIHAH ZULAIKHA HANAPIAH dan DR. MUHAMMAD RAQIB MOHD SOFIAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)