SAUDARA PENGARANG,
DALAM era teknologi ini, semakin ramai bercita-cita untuk menjadi pempengaruh media sosial. Bagaimanapun, ini bukanlah satu tahap aspirasi yang sepatutnya diimpikan kerana cita-cita mesti mempunyai objektif jelas dan bermatlamat.
Pempengaruh menjadi popular kerana kandungan media sosial mereka yang unik, informatif atau menghiburkan. Seiring perkembangan zaman, semakin ramai yang tertarik untuk menjadikannya sebagai kerjaya tanpa menyedari kesan buruknya.
Kekurangan nilai-nilai yang dijunjung tinggi dalam industri adalah salah satu sebab untuk kita berhenti menjadikan lapangan ini sebagai cita-cita utama. Fokus utama kebanyakan pempengaruh hanyalah mengejar populariti, kekayaan dan mendapatkan lebih banyak pengikut.
Mereka memuat naik kandungan yang tidak bermanfaat hanya kerana mahu ‘mencuri’ perhatian demi mendapatkan lebih banyak sokongan, tanpa menyedari impak bakal diberikan kepada masyarakat.
Tidak semua pempengaruh membawa budaya buruk. Ada yang memberi inspirasi kepada ramai orang untuk berusaha meskipun beberapa kali gagal. Pempengaruh seperti ini wajar dicontohi.
Bagi yang memasang angan-angan untuk menjadi pempengaruh, penting untuk anda sedar bahawa dunia digital berubah dengan cepat dan trend moden mungkin akan usang tidak lama lagi. Jadi, dengan bergantung harap pada populariti internet yang sementara boleh menjadi sangat bahaya.
Lebih baik kita menumpukan perhatian dengan meningkatkan kemahiran lebih mendalam dalam sesuatu bidang yang mempunyai kesan baik dan stabil dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk anak muda membuka minda dengan memandang ke hadapan bagi mempersiapkan diri memasuki bidang-bidang berimpak besar serta menjanjikan masa depan yang lebih baik serta pulangan pendapatan yang berpanjangan. – UTUSAN
SITI KHADIJAH MUHEDDIN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)