Harga diri bukan diukur dengan barangan berjenama

Harga diri bukan diukur dengan barangan berjenama

MANUSIA tanpa mengira usia harus sedar bahawa harga diri seseorang tidak diukur dari segi pemilikan barangan berjenama tetapi ilmu dan budi pekerti yang membina personaliti seseorang. –GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG

MANUSIA secara semula jadi memang sukakan kecantikan, keindahan, kemenangan dan pujian. Kecantikan dan keindahan tidak terbatas pada apa yang dipakai oleh seseorang tetapi juga apa dimiliki seperti kenderaan, barang perhiasan dan kediaman. Bagaimanapun, pencapaian seseorang adalah bersifat subjektif. Tidak juga menjadi satu kesalahan untuk menjadi kaya agar impian dan kesukaan diri dapat dicapai.

Dengan perkembangan teknologi di hujung jari dan kemudahan mencapai maklumat tanpa batas melalui media dalam talian dan media sosial, keinginan untuk mengejar impian seolah-olah menjadi persaingan.

Pencapaian seseorang tentunya menaikkan rasa harga diri tetapi pada masa sama kemungkinan orang lain pula berasa kecewa kerana gagal mencapai apa yang diimpikan.

Dari segi psikologi, penting bagi individu yang sihat mental dan emosinya untuk memastikan kegembiraan, keindahan, kecantikan, kemenangan dalam bidang apa pun dikawal oleh lokus kawalan dalaman.

Dengan lebih jelas, kepuasan diri tidak seharusnya terlalu dikawal oleh faktor luaran kerana ia boleh menjurus ke arah rendah harga diri. Individu yang sihat mental hanya menggunakan pencapaian orang lain sebagai rujukan untuk memperbaiki diri dan bukan sebagai sebab untuk berdendam, berasa murung dan rendah diri.

Bahaya terpengaruh dan mengukur kejayaan mengikut pencapaian orang lain sepenuhnya juga boleh mendorong seseorang melakukan tingkah laku tidak diingini termasuk jenayah. Contohnya, seperti dilaporkan akhbar sebelum ini mengenai individu yang menggunakan kad bank orang lain untuk membeli telefon bimbit.

Manusia tanpa mengira usia harus sedar bahawa harga diri seseorang tidak diukur dari segi pemilikan barangan berjenama tetapi ilmu dan budi pekerti yang membina personaliti seseorang.

Manusia yang sihat dari segi mental dan emosi mempunyai lokus kawalan dalaman yang lebih tinggi, motivasinya bersifat intrinsik dan kegembiraannya tidak dikawal oleh pencapaian orang lain.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MELATI SUMARI
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya