Haramkan konvoi motosikal semasa kempen pilihan raya

Haramkan konvoi motosikal semasa kempen pilihan raya

KONVOI bermotosikal yang acap kali diadakan semasa kempen pilihan raya sepatutnya dihentikan kerana menggangu kelancaran lalu lintas dan ketenteraman awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menerima banyak rungutan daripada pengguna jalan raya yang berasa kurang selesa dengan kemunculan konvoi motosikal dipercayai bertujuan meraih sokongan politik.

Saya berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perkara ini memandangkan menunggang motosikal secara berkonvoi sambil memegang bendera boleh mengundang kecelakaan. Pada masa sama bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Selain faktor keselamatan jalan raya, ia juga boleh mengganggu ketenteraman awam apatah lagi jika dianjurkan parti politik kerana dibimbangi boleh mencetuskan provokasi seterusnya mengundang kekecohan.

Saya juga tertanya-tanya, adakah PDRM atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meluluskan penganjuran konvoi motosikal oleh mana-mana pihak sama ada parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk orang awam?

Seandainya belum diadakan peraturan tersebut, dicadangkan PDRM atau pihak berkuasa lain meminta mana-mana pihak atau penganjur yang hendak mengadakan konvoi bermotosikal diwajibkan memohon permit.

Juga meletakkan syarat setiap penganjuran tidak boleh melebihi 100 orang penunggang motosikal melainkan sekiranya mendapat kebenaran khas bagi urusan rasmi kerajaan.

Perkara ini sewajarnya dikaji oleh pihak berwajib termasuk mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang mana-mana parti politik menganjurkan konvoi bermotosikal setiap kali diadakan kempen pilihan raya.

Kempen konvoi bermotosikal yang acap kali diadakan semasa kempen pilihan raya sepatutnya dihentikan terus ataupun diharamkan atas faktor atau alasan menggangu kelancaran lalu lintas dan ketenteraman awam.-UTUSAN

MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN