Graduan usahawan mampu kurang pengangguran - Utusan Malaysia

Graduan usahawan mampu kurang pengangguran

KEBANYAKAN universiti di negara ini sudah mula bersifat terbuka dalam menggalakkan mahasiswa untuk memulakan perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan mendedahkan lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah pengangguran akibat kekurangan peluang pekerjaan di samping pengeluaran lepasan universiti secara ‘berlebihan’ oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.

Untuk rekod, secara purata, 224,000 graduan dihasilkan setiap tahun berbanding anggaran penawaran kerja berkemahiran tinggi hanya 127,000.

Oleh itu, bakinya iaitu lebih 90,000 graduan berdepan masalah untuk memasuki alam pekerjaan akibat kekurangan penawaran.

Bagi menyelesaikan masalah ini, IPT boleh memberi tumpuan bukan sahaja melahirkan graduan mahir dalam kursus masing-masing malah juga menjadi usahawan.

Langkah ini boleh dilakukan kerana pada masa kini, keusahawanan adalah kursus wajib bagi semua mahasiswa.

Pada masa sama, kebanyakan IPT sudah mula bersifat terbuka dengan menggalakkan mahasiswa memulakan perniagaan sebagai syarikat pemula.

Ini juga selaras dengan trend generasi muda pada hari ini yang lebih cenderung untuk berniaga dan mempelajari kemahiran keusahawanan walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang pelbagai.

Agensi kerajaan seperti SME Corporation amat menyokong syarikat pemula pelajar IPT dengan menawarkan dana permulaan, program pementoran, inisiatif pengkomersialan dan pelbagai lagi.

Usaha ini menyokong kepada penghasilan graduan usahawan yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi, malah berpotensi untuk mencipta peluang pekerjaan apabila melangkah keluar dari IPT.

Keusahawanan merupakan pemangkin kepada kreativiti dan inovasi. Apabila pelajar IPT mula mendalami dunia perniagaan, mereka bebas untuk menunjukkan kreativiti dalam penghasilan produk atau perkhidmatan yang dapat menyelesaikan masalah pengguna.

Selain itu, pelajar akan mula melakukan inovasi berdasarkan idea yang mereka bangunkan sama ada mencipta sesuatu yang baharu atau menambah baik produk dan perkhidmatan sedia ada di pasaran.

Ini dapat memupuk pelajar untuk menerapkan minda keusahawanan kelas pertama yang berpandangan jauh, berfikir di luar kotak dan kebolehan memberikan solusi dari pelbagai aspek.

Apabila pelajar IPT mula mengusahakan perniagaan sendiri, mereka akan mula menyiapkan diri dengan kemahiran pengurusan, kepimpinan, komunikasi, kewangan dan pemasaran.

Kemahiran ini melangkaui konsep akademik dan hanya boleh diperolehi melalui praktikal sebenar. Justeru, pelajar IPT yang menceburi bidang keusahawanan akan lebih berdaya saing berbanding rakan lain.

Ini juga mendorong kepada peningkatan prospek kebolehpasaran mereka. Ketika pelajar mengendalikan perniagaan sendiri, mereka akan belajar membuat keputusan, mengurus risiko dan merancang strategi bagi berdepan cabaran drastik di pasaran.

Ini juga dapat memupuk sikap bertanggungjawab dan membina peribadi cemerlang supaya mereka dapat mengharungi ketidakpastian dalam perniagaan. – UTUSAN

DR. NURUL ASHYKIN ABD. AZIZ & NUR NABILA HUDA SABARAN, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya