SAUDARA PENGARANG,
PELAKSANAAN Perintah Gaji Minimum (PGM) RM1,500 bermula 1 Mei 2022 membabitkan majikan yang mengambil lima orang pekerja atau lebih.
Berdasarkan laporan pada Mei lalu, lebih 200 majikan masih gagal melunaskan gaji minimum kepada pekerja mereka. Persoalannya, kenapa majikan masih ingkar dengan arahan kerajaan?
Secara amnya, kita harus menerima hakikat bahawa isu ketidakstabilan politik dan implikasi pascapandemik telah membantutkan proses pemulihan ekonomi negara.
Data pada 2020/2021 menunjukkan kira-kira 160,000 pekerja telah ditamatkan perkhidmatan dan hampir 37,000 syarikat gulung tikar.
Fakta terbabit memberikan gambaran kebanyakan perniagaan sedang bangkit dan masih belum bersedia melaksanakan gaji minimum.
Walaupun dapatan awal kajian beberapa pihak menunjukkan 45 peratus responden bersetuju dengan langkah kerajaan membantu rakyat melalui kaedah menaikkan gaji minimum, namun ternyata masih banyak syarikat terutama berskala kecil tidak mampu untuk mematuhinya.
Untuk meningkatkan pematuhan, kerajaan menggunakan kaedah perundangan dengan hukuman tertentu bagi mewujudkan rasa takut dalam kalangan majikan.
Bagaimanapun, kaedah perundangan terbabit boleh menyebabkan majikan hilang minat untuk meneruskan operasi perniagaan di Malaysia dan menggajikan pekerja tempatan.
Tidak mustahil nanti ramai majikan membuat keputusan memindahkan operasi syarikat ke luar negara yang menetapkan kadar gaji minimum lebih rendah dan dalam masa sama mempunyai bekalan pekerja mahir yang ramai.
Jika perkara ini benar-benar berlaku, ia akan menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran. Sebab itu, semua pihak harus menyambut baik cadangan supaya dilaksanakan Model Gaji Progresif (PWM) bagi menggantikan PGM.
Namun, pelaksanaan PWM memerlukan satu kajian lebih mendalam selaras dengan situasi ekonomi dan perburuhan semasa.
Ternyata kedua-dua kaedah PWM dan PGM mempunyai objektif sama, iaitu memberi perlindungan kepada pekerja yang menerima gaji terendah.
Dalam konteks pelaksanaan PGM, majikan yang tidak mematuhinya harus dikenakan tindakan bersifat pentadbiran, bukannya perundangan.
Pelaksanaan PGM juga perlu dilakukan secara berperingkat dan bukan dilaksanakan secara serentak tanpa mengambil kira perbezaan yang wujud dalam setiap sektor.
Misalnya, keperluan dan permasalahan dalam sektor pembinaan adalah tidak sama dengan sektor perladangan. – UTUSAN
DR. SHARFIZIE MOHD. SHARIP dan SHAHRUL AMRI ABD. WAHAB, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Rembau