Dedah dalam FB jika syak berlaku kes dera - Utusan Malaysia

Dedah dalam FB jika syak berlaku kes dera

MEDIA sosial seperti Facebook adalah platform terbaik untuk rakyat membuat pendedahan mengenai kes-kes penderaan yang berlaku. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun baru-baru ini maut dipukul oleh teman lelaki ibunya hanya kerana muntah di atas sofa.

Berdasarkan siasatan polis, mangsa dihantar ke rumah lelaki terbabit yang berusia 31 tahun di Cheng, Melaka untuk berubat pada pukul 5.30 pagi selepas dikatakan kerap muntah.

Kanak-kanak itu tidak sihat dan teman lelaki ibunya sepatutnya membawanya ke klinik. Bagaimanapun,40 minit kemudian, suspek menghubungi ibu mangsa memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum kedua-dua mereka membawa kanak-kanak malang itu ke hospital.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. Berikutan kes itu, ibu kandung mangsa dan teman lelakinya disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A), Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan membunuh.

Berita seperti ini benar-benar meruntun hati masyarakat. Saya menyeru semua pihak agar mengambil iktibar dan segera membuat aduan polis sekiranya di kawasan kejiranan mereka terdapat kes-kes terpencil melibatkan penderaan kanak-kanak.

Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu sama-sama berganding bahu mengekang kes penderaan yang masih belum menemui garis penamat.

Media sosial seperti Facebook adalah platform terbaik untuk rakyat membuat pendedahan dan melaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa jika mengesan berlaku kes-kes penderaan.

Kajian juga perlu dilakukan bagi mencari punca kenapa seseorang itu bersifat sadis, iaitu suka menyakiti dan menyeksa orang lain dari segi ­fizikal atau mental untuk mendapat keseronokan atau kepuasan.

Kerajaan juga dicadangkan merangka dasar yang lebih komprehensif dalam memastikan kanak-kanak di negara ini sentiasa selamat di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Adalah sesuatu yang menyedihkan jika masih ada kanak-kanak didera secara sadis. Oleh itu, sudah tiba masanya penjenayah yang bertopengkan manusia ini dihadap ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman berat. – UTUSAN

BAPA MITHALI, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya