Cakap-cakap politik sekadar hiburan semata-semata

Cakap-cakap politik sekadar hiburan semata-semata

RAKYAT melalui tanggungjawab sebagai pengundi dapat memainkan peranan dalam sistem demokrasi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menukar pendaftaran sebagai pengundi di Johor ke Kuala Lumpur pada 2015. Jadi, saya tidak terlibat dengan mana-mana pilihan raya negeri (PRN) sejak itu. Dan seingat saya juga, tidak pernah lagi PRN mendapat perhatian orang ramai sebanyak pada kali ini.

Tarikh-tarikh pengundian dihafal, nama parti, poster boy dan bakal calon bermain dalam fikiran dan acap kali menguis skrin telefon untuk menikmati ‘suapan’ cerita politik terkini di media sosial.

Yang melompat keluar (dan masuk) parti, atau duduk sebentar di tepi gelanggang, hatta pemain politik yang bukan ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali pun tapi sering memberi ulasan di ruang media, semuanya kita kenali.

Ada yang pandai menggunakan retorik, ada yang pandai menakut-nakutkan dan paling ramai adalah spesies yang ingin memberi hiburan dengan pelbagai kaedah kononnya menggelikan hati, menuding, merendah dan mempersenda orang lain.

Apakah kita sedang menjadi penonton kepada persembahan komediri yang panjang?

Menurut rakan baik saya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub yang juga merupakan penganalisis politik tempatan, perbincangan politik sememangnya sesuatu yang ‘nikmat.’

Dari satu sudut, ia memberikan identiti dan perasaan sense of belonging. Sebagai individu, setiap daripada kita ingin dikenali dengan identiti khusus supaya membolehkan kita berinteraksi dengan orang lain.

Politik juga membolehkan kita meneroka ruang untuk menyumbang kepada masyarakat melalui tanggungjawab sebagai pengundi dengan memainkan peranan dalam sistem demokrasi. Wakil rakyat yang terpilih kelak akan mewakili suara dan aspirasi, bakal membentuk masyarakat, undang-undang dan polisi. Maka sudah tentunya perbincangan mengenai politik adalah sesuatu yang menarik dan berwarna-warni.

Namun, perlu juga difahami ruang perbincangan sebegini terutama yang banyak memperkatakan tentang nilai, ideologi dan karakter pemimpin, tidak akan lari daripada membincangkan perkara-perkara yang sifatnya subjektif. Perbezaan pendapat sudah pasti akan timbul. Tanpa kemahiran berdebat atau mengutarakan pendapat dengan baik, maka timbullah isu polarisasi, ketiadaan akauntabiliti, fitnah dan lain-lain perkara negatif yang menjauhkan kita dari aspek positif perbincangan politik itu tadi.

Ditambah dengan reka bentuk dunia media sosial yang sentiasa menuntut perhatian penggunanya. Tidak menghairankan jika ramai yang menganggap cakap-cakap politik ini hanya sekadar hiburan dan tidak mampu memainkan peranannya yang sebenar dalam membina bangsa dan negara.

Saya kira sudah tiba masanya untuk kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tiada salahnya untuk kita berhibur dengan kandungan bersifat politik, namun jangan sesekali diletakkan taraf perbincangan politik sepenting itu setara dengan ‘makanan’ hiburan ringan yang kita nikmati setiap hari di media sosial. Kongsi, komen dan ikut mereka yang betul-betul layak mewakili suara dan hasrat kita dalam membina negara, bukan hanya sekadar pandai berjenaka dan menggelikan hati.-UTUSAN

PROFESOR MADYA IR. DR. NAHRIZUL ADIB KADRI
Pengarah Pusat Komunikasi
Korporat Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya