Beri peluang juga pensyarah jadi calon pilihan raya

Beri peluang juga pensyarah jadi calon pilihan raya

WARGA pendidik terutama pensyarah perlu diberi peluang untuk menjadi calon pilihan raya memandangkan dapat menyumbang kepada negara.-UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMAI pihak dijangka menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini mewakili parti politik. Ruang dan peluang juga harus diberikan kepada ahli akademik atau pensyarah universiti untuk menjadi calon pilihan raya.

Sumbangan mereka seharusnya tidak dinafikan dan diketepikan dalam soal ini. Kerajaan terdahulu ada menyatakan hasrat untuk memberi pertimbangan membenarkan golongan penjawat awam melibatkan diri dalam dunia politik.

Bertitik tolak daripada hasrat terbabit, kerajaan perpaduan juga boleh memberi pertimbangan mengenai perkara ini tanpa melalui banyak proses atau kerenah birokrasi. Kebenaran untuk memberi penjawat awam khususnya warga pendidik terlibat dalam aktiviti politik harus dilihat dari sudut positif.

Warga pendidik memiliki tahap intelek dan kebijaksanaan tinggi yang boleh digunakan bagi memberi khidmat bakti kepada masyarakat. Kita tidak seharusnya mengehadkan sumbangan pensyarah kepada masyarakat melalui penerbitan buku dan artikel ataupun setakat memberi syarahan, membentangkan kertas kerja di bengkel, seminar atau persidangan sahaja tetapi turut dibenarkan memberi sumbangan kepada masyarakat melalui skop lebih luas. Ini termasuklah dengan menggalakkan mereka menawarkan diri sebagai calon pilihan raya.

Selalunya pensyarah yang ingin melibatkan diri secara aktif dalam politik bukan sahaja perlu mendapatkan kebenaran daripada ketua jabatan, dekan atau naib canselor universiti tetapi meletak jawatan. Jika mereka tewas akan menjadi seorang penganggur. Perkara sebegini menyebabkan ramai yang layak berasa bimbang, takut dan teragak–agak untuk menceburkan diri secara aktif dalam arena politik. Sekiranya amalan ini diteruskan akan membawa kerugian besar pada negara dan sistem demokrasi.

Cara sebegini tidak sepatutnya terus diamalkan lagi di kala kita sedang bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan setiap individu untuk melibatkan diri dalam dunia politik.

Oleh demikian, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dicadang meneliti dengan baik cadangan untuk membenarkan penjawat awam khususnya ahli akademik ataupun pensyarah terlibat dengan aktiviti politik.

JPA boleh mengeluarkan satu pekeliling baharu dan jelas untuk memudahkan urusan tanpa keperluan bagi mereka mendapatkan kebenaran atau meletak jawatan terlebih dulu.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya