Bentang kertas putih perkhidmatan awam - Utusan Malaysia

Bentang kertas putih perkhidmatan awam

ANTARA isu boleh diselesaikan jika pendapatan kerajaan bertambah adalah menyerap kakitangan perkhidmatan kontrak ke jawatan tetap. – GAMBAR HIASAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan mengambil langkah drastik bagi menjaga kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan dilihat satu tekad yang murni.

Adalah diharapkan tekad ini dapat direalisasikan segera bagi menghargai pengorbanan penjawat awam yang sedang berkhidmat atau pesara kerajaan yang telah bekerja keras melaksanakan segala agenda pemerintah.

Langkah ini penting kerana majoriti penjawat awam berada dalam kumpulan golongan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40).

Bagi memastikan kehidupan dan kebajikan golongan ini terjamin, maka struktur gaji baharu perkhidmatan awam perlu diperkenalkan dengan mengambil kira kos sara hidup yang meningkat.

Kerajaan perlu meningkatkan pendapatannya termasuk dari segi perolehan cukai. Usaha menambah pendapatan negara sudah mula dibuat apabila kerajaan berjaya membawa masuk pelaburan bernilai tinggi.

Antaranya, syarikat automotif China, Geely bakal membuat pelaburan sebanyak RM45.3 bilion untuk menjadikan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automotif terbesar di Asia Tenggara.

Pelaburan baharu lain adalah daripada kerajaan Arab Saudi dan syarikat minyak dan gas negara itu, Aramco.

Antara isu lain yang boleh diselesaikan jika pendapatan kerajaan bertambah adalah berkaitan kakitangan perkhidmatan kontrak yang mahu diserapkan ke jawatan tetap, urusan kenaikan pangkat dan pengambilan kakitangan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan supaya tidak tertangguh begitu lama.

Segala penambahbaikan terhadap perkhidmatan awam hendaklah seiring dengan peningkatan prestasi kakitangan. Jangan ada lagi rakyat yang meluahkan perasaan tidak berpuas hati dan menyatakan mereka telah hilang keyakinan terhadap perkhidmatan kerajaan.

Di samping itu, beberapa hal yang perlu diberikan penekanan oleh kerajaan ialah masalah mental dalam kalangan penjawat awam dan isu had umur persaraan yang dicadang untuk dipinda.

Semua cadangan ini memerlukan kajian mendalam. Dalam melaksanakan tugas hakiki, penjawat awam pada masa sama bertanggungjawab mengurus kehidupan berkeluarga.

Oleh itu, segala isu berkaitan kebajikan penjawat awam dan keluarga mereka perlu diselesaikan oleh kerajaan. Penyelesaian terhadap isu seperti ini boleh meningkatkan prestasi kerja penjawat awam.

Justeru, kerajaan disaran menyediakan kertas putih bagi menerangkan langkah-langkah yang akan diambil bagi menyelesaikan segala masalah dihadapi penjawat awam. Kertas putih merupakan laporan yang memberi maklumat lengkap terhadap sesuatu isu.

Dalam kertas putih itu juga perlu dimasukkan langkah-langkah memperkemaskan urusan pencen dari sudut tempoh masa pembayaran dan nilai yang relevan dengan tuntutan semasa.

Segala data yang ada dalam kertas putih terbabit akan memudahkan kerajaan merancang termasuk mengenal pasti keperluan membuat pengambilan baharu penjawat awam dan memberi jaminan kebahagiaan buat pesara kerajaan. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya