SAUDARA PENGARANG,
DAERAH Batu Pahat kini semakin pesat membangun dengan jumlah penduduk seramai 495,000 orang.
Pada masa ini, Jalan Kluang, Jalan Tongkang Pechah dan Jalan Peserai selalu berlaku kesesakan dan sering terjadi kemalangan jalan raya.
Pada musim perayaan, keadaan begitu sesak. Oleh itu, sudah sampai masanya dibina jejambat sebagai alternatif kepada kenderaan yang ingin masuk ke pusat bandar atau meneruskan perjalanan ke utara dan selatan.
Jejambat itu boleh dibina berhampiran jambatan Batu Pahat atau persimpangan Jalan Bakau Condong.
Kerja-kerja melebarkan jalan dan membuat pemisah jalan di Jalan Parit Raja menuju Ayer Hitam masih belum siap dan buat masa sekarang memang menguji kesabaran pengguna jalan raya.
Jalan Seri Gading menuju pekan Ayer Hitam pula mudah dijadikan medan pelumba motosikal haram terutama pada malam Sabtu atau Ahad.
Di jalan ke arah Muar terutama sekitar Kampung Gambut, banyak pokok besar di kiri kanan jalan merimbun daunnya. Pihak berkuasa perlu memotong dahan yang sudah tua atau melakukan audit risiko jika pokok itu tumbang.
Pantai Minyak Beku kini menjadi tarikan bagi penduduk tempatan untuk bersiar-siar dan berekreasi pada sebelah petang. Kawasan itu perlu dipasang lebih banyak lampu dan ditambah gerai makanan.
Kewujudan kedai-kedai baharu yang diusahakan oleh warga asing juga menimbulkan tanda tanya para penduduk.
Apakah status perniagaan itu dan adakah mereka ini pendatang asing tanpa izin (PATI)? Sehubungan itu, operasi pemeriksaan perlu dilakukan segera. – UTUSAN
MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor