Bakal YB boleh kalah jika hujah tempang - Utusan Malaysia

Bakal YB boleh kalah jika hujah tempang

KEMPEN pilihan raya negeri (PRN) kali ini adalah medan pertarungan hujah luar biasa antara calon parti gabungan yang bertanding. – GAMBAR HIASAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MELIHAT proses demokrasi yang nampak semakin matang dan sihat sudah pasti gabungan parti yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini perlu mengemukakan calon yang lebih segar dari segi pemikiran dan memiliki idealisme mantap.

Ramai calon muka baharu dilihat berpotensi membawa hala tuju negara ke arah lebih dinamik. Calon terbabit perlu bersedia dengan hujah dan idea yang padu.

Untuk itu, calon yang diketengahkan dalam mana-mana gabungan parti perlu memiliki latar belakang pendidikan mantap, pemikiran luar biasa, daya tahan kukuh dan mampu berkomunikasi dengan setiap lapisan masyarakat tidak kira kaum.

Seterusnya, calon bertanding mesti mampu berpidato, menyelesaikan isu rakyat dengan idea baik, sikap dan perwatakan yang mampu menjadi contoh serta diyakini boleh memikul amanah dalam mentadbir negeri.

Kecenderungan bakal Yang Berhormat (YB) hendaklah lebih terarah kepada menyelesaikan masalah rakyat berbanding bermain sentimen perkauman dan agama yang melampau.

Pada zaman sekarang, ramai dalam kalangan pengundi berumur 18 sehingga 50 tahun terdedah dengan teknologi maklumat bahkan hampir separuh yang berumur 51 tahun ke atas mampu meneroka maklumat melalui internet.

Justeru, PRN kali ini adalah medan pertarungan hujah yang luar biasa antara calon parti gabungan bertanding. Jika tersalah langkah, pihak lawan akan mengambil peluang mengalahkan hujah yang tempang dengan hujah lebih menarik.

Justeru, setiap calon bertanding harus arif pelbagai isu dihadapi rakyat dan jangan beranggapan pengundi sekarang mudah termakan dengan fitnah dan adu domba.

Dunia sudah berubah ke suatu keadaan di mana segala hasil pencapaian dan fakta tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

Oleh itu, strategi kempen yang menampilkan kebijaksanaan calon bertanding sangat dihargai oleh pengundi berbanding calon lemah dari segi penghujahan dan ketandusan idea. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya