SAUDARA PENGARANG,
LAUTAN di sekeliling kita sedang diancam krisis sangat serius dan berupaya mengancam ekosistem bumi keseluruhannya. Lebih membimbangkan, ia disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri.
Pencemaran plastik berleluasa, penangkapan ikan berlebihan, kemusnahan habitat pantai dan perubahan iklim telah membawa ekosistem marin kita ke ambang kemusnahan.
Plastik sebagai contoh, menimbulkan ancaman serius terutama kepada hidupan marin kerana ia tersebar ke setiap sudut lautan.
Akibat sikap semberono manusia, penggunaan plastik sekali guna telah meluas selama berabad lamanya, mengancam kehidupan marin dan mengganggu keseimbangan ekosistem marin.
Dalam pada itu, penangkapan ikan yang berlebihan didorong amalan tidak selamat dan permintaan semakin meningkat untuk makanan laut, mengurangkan populasi ikan dan mengganggu rantaian makanan.
Habitat pantai termasuk hutan bakau dan terumbu karang mengalami kerosakan yang merosot dan seterusnya mengancam kelangsungan hidup lautan kita.
Faktor-faktor ini digabungkan dengan peningkatan paras laut, suhu dan peningkatan keasidan akibat perubahan iklim telah mengancam lautan kita secara berterusan.
Oleh itu, adalah penting untuk mengiktiraf lautan sebagai penjaga iklim yang penting kerana lautan menyerap dan mengedarkan sejumlah besar haba.
Bagaimanapun, peningkatan suhu menyebabkan kerosakan pada terumbu karang, mengganggu ekosistem marin dan mengancam komuniti pantai.
Melindungi lautan kita bukan satu pilihan tetapi adalah keperluan jika kita ingin mengurangkan kesan perubahan iklim dan memastikan masa depan yang baik untuk semua.
Masanya telah tiba untuk bertindak dengan lebih efektif, efisien dan komited serta memupuk hubungan yang lebih harmoni dengan lautan.
Terdapat beberapa tindakan boleh diambil untuk menangani krisis lautan dan menyumbang kepada usaha memerangi perubahan iklim.
Salah satu cara adalah dengan memilih sumber makanan laut yang ditangkap secara mampan dan mempunyai label mesra alam.
Melibatkan diri dalam aktiviti pembersihan pantai adalah antara cara praktikal untuk melakukan perubahan bagi menyelamatkan lautan.
Dengan menganjurkan atau mengambil bahagian dalam kegiatan membersih pantai, individu boleh menyumbang kepada penyingkiran sisa plastik dan bahan pencemar lain yang membahayakan hidupan marin.
Acara ini juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memulihara lautan dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk bertindak.
Dalam pada itu, mengamalkan amalan melancong secara bertanggungjawab adalah penting untuk melindungi lautan kita.
Sebagai pengembara, kita dapat mengurangkan impak dengan memilih penginapan mesra alam, terlibat dalam aktiviti menyelam yang menghormati hidupan marin dan habitatnya serta membuang sampah secara betul untuk mengelakkan pencemaran kawasan pantai.
Melibatkan diri dalam pendidikan dan advokasi tentang lautan juga merupakan langkah lain yang boleh kita ambil. Kita boleh membuat impak ketara dengan mendidik diri sendiri dan orang lain tentang kepentingan memulihara lautan.
Selain itu, melindungi dan memulihkan ekosistem marin seperti bakau, rumput laut dan terumbu karang boleh meningkatkan kapasiti mereka untuk menyerap karbon dioksida dan mengekalkan kesihatan iklim.
Menyokong sumber tenaga boleh diperbaharui seperti ladang angin luar pesisir dan memanfaatkan kuasa arus dan air laut juga boleh membantu mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.
Kajian menunjukkan penyelesaian iklim berpusatkan lautan berpotensi menyumbang sehingga 21 peratus daripada pengurangan tahunan dalam pelepasan gas rumah hijau. – UTUSAN
AKTIVIS ALAM SEKITAR, Universiti Putra Malaysia (UPM)