SAUDARA PENGARANG,
SEPANJANG penubuhannya selama 75 tahun, Liga Arab yang dianggotai 22 negara, fungsinya semakin merosot daripada sebuah organisasi yang mewakili dan mendorong tindakan negara-negara Arab untuk bersifat kolektif dan bersatu bertukar menjadi organisasi saling berpecah-belah.
Asia Barat adalah wilayah yang mempunyai landskap politik kompleks, Terdapat beberapa isu politik yang paling ketara termasuk konflik berterusan di Syria, Israel-Palestin serta ketegangan antara Iran dan Arab Saudi.
Konflik yang berlaku di Asia Barat sering berpunca daripada perbezaan politik dan agama.
Walaupun melibatkan banyak pihak di serata dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa negara-negara maju, namun konflik yang berlaku tidak berkesudahan.
Konflik ini juga berlaku disebabkan tiga isu iaitu ekonomi, sosiopolitik dan ideologi. Konflik yang berlaku menyebabkan goncangan ekonomi global ekoran penghasilan minyak berkualiti yang menjadi tumpuan di seluruh dunia untuk kehidupan dan industri terutama bagi Eropah dan Jepun.
Politik amat penting dalam sesebuah negara yang mana keperluan kepada pemimpin untuk merealisasikan kewujudan umat Islam. Tanggungjawab utamanya ialah bersatu berpegang pada agama Allah.
Dengan adanya politik dan pemimpin, dapat membahagikan kepada beberapa hukum untuk memperkukuhkan sistem pemerintahan sesebuah negara terutama rantau Asia Barat yang sering bergolak sejak Perang Dunia Pertama sehingga hari ini.
Dalam sistem pemerintahan seharusnya ada pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan kebajikan untuk memudahkan segala urusan politik dan pentadbiran.
Dalam politik Islam, melahirkan ekonomi yang bersih kerana kecaknaan seorang pemimpin mampu menjana sumber baik untuk sesebuah negara. Ini kerana terdapat syariah Islamiyah yang melarang dalam perkara haram seperti rasuah. Selain itu, menolak fahaman pemisahan politik dengan agama, namun dalam dunia politik Asia Barat berlaku pertelingkahan sentimen antara Sunah dan Syiah. Ini kerana selepas Islam dijajah telah mengakibatkan pengaruh Barat yang merebakkan fahaman sekular.
Maka itulah pentingnya politik berlandaskan Islam yang mempunyai hukum-hakam berbanding fahaman sekular Barat yang memisahkan politik dengan agama Kristian sebagai protes terhadap penguasaan pihak gereja dalam kehidupan masyarakat feudal. Wajarnya, politik adalah suatu perkara yang perlu bagi menegakkan agama sebagai satu cara hidup yang sempurna.-UTUSAN
AISYAHTUL ASSHYURA LAJIS
Universiti Malaya