SAUDARA PENGARANG,
OTHELLO adalah permainan di atas sekeping papan dengan susunan petak seperti papan catur. Terdapat 64 keping buah Othello berbentuk cakera nipis berbentuk bulat berwarna putih dan hitam pada dua permukaannya.
Apa kaitan permainan Othello dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti? Kedua-duanya melibatkan satu perbuatan, iaitu kalih.
Dalam permainan itu, pemenang akan ditentukan dengan jumlah kalih paling banyak yang dibuat sama ada warna putih atau hitam termasuk cakera asal.
Dalam PRN pula, jika gabungan parti dapat kalih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lawan dan mengekalkan kerusi DUN mereka, maka peluang untuk membentuk kerajaan negeri amat cerah.
Untuk kalih kerusi pihak lawan, tidaklah semudah kalih cakera Othello. Strategi kepung dan sekat secara semberono adalah pendekatan tidak sesuai untuk bersaing dalam PRN nanti kerana para pengundi bukan seperti anak ayam.
Namun, terdapat juga strategi dalam permainan Othello yang boleh diaplikasi dalam PRN nanti. Dalam permainan itu, petak tengah sangat bernilai dan perlu dikawal kerana ia berpotensi tinggi untuk mengalih cakera pihak lawan.
Dalam hal ini, petak tengah sinonim dengan kawasan bandar, pekan atau tempat agak maju dalam kawasan DUN.
Perkataan ‘tengah’ dalam konteks daerah atau negeri bukan bermaksud tengah dalam kiraan geometri tetapi lebih kepada pusat tumpuan strategik yang menempatkan pusat pentadbiran, perkhidmatan, komersial dan perbankan.
Tahap pendidikan, taraf ekonomi dan pemikiran terbuka pengundi kawasan tersebut berpotensi tinggi untuk berpihak kepada calon yang pandai memikat mereka dengan fakta, data, analisis, statistik, unjuran dan kebolehlaksanaan perkara-perkara yang digariskan dalam manifesto dan janji mulut ketika berkempen.
Jika dapat memenangi hati, mereka akan memberikan sokongan moral dan sumbangan kewangan. Di samping itu, mereka juga dapat mempengaruhi saudara-mara dan sahabat handai di kawasan lain untuk menyokong calon dari parti sama.
Othello merupakan permainan melibatkan strategi dan perancangan. Buat perancangan rapi sebelum memulakan pergerakan. Selain itu, pemain mesti cuba menjangka beberapa pergerakan bakal dibuat pihak lawan.
Strategi sama boleh juga dilakukan dalam kempen PRN nanti. Calon PRN sudah boleh menjangka pihak lawan akan membangkitkan isu-isu semasa dan kelemahan diri calon dalam kempen mereka.
Maka, bersiap sedialah dengan jawapan yang dapat mematahkan hujah pihak lawan tanpa perlu mengaitkan isu sensitif, yakni agama, bangsa dan raja (3R). Kena guna strategi berbeza untuk mendekati pengundi muda dan pengundi veteran.
Dalam permainan Othello juga, penjuru papan sangat penting dan perlu dimanfaatkan dengan bijak. Kawasan penjuru sangat stabil dan tidak boleh dikalih.
Kawasan penjuru dalam sesuatu DUN merujuk kepada kawasan luar bandar, terutama kampung yang terperuk di sempadan. Calon PRN perlu berkempen di kawasan luar bandar terlebih dahulu untuk mendapatkan jaminan undi orang kampung.
Ini tidak bermakna undi orang kampung mudah diperoleh. Sebaliknya, perlu kena dengan cara dan adab yang betul.
Bersempena dengan kempen kalih, saya harap kerajaan yang memerintah dapat kalih ekonomi menjadi pulih dan berdaya maju, kalih nilai ringgit agar menjadi kukuh dan kompetitif serta kalih kadar dasar semalaman (OPR) ke angka yang tidak membebankan peminjam. – UTUSAN
MARISSA QT, Kuala Lumpur