SAUDARA PENGARANG,
SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha baru sahaja berlalu di Malaysia dalam suasana tenang, aman dan selamat berbanding saudara seagama kita di negara-negara lain yang menghadapi situasi berbeza akibat pergolakan.
Hakikatnya kita masih mampu senyum dan menikmati kehidupan tenteram berbanding persekitaran dan suasana kehidupan umat Islam di sesetengah negara yang begitu kacau-bilau dan tegang.
Kepimpinan negara bertunjangkan Islam sebagai agama Persekutuan terus menjadi tiang seri kedaulatan seluruh rakyat.
Hasilnya, rakyat pelbagai kaum dan agama masih mampu berdiri gah di persada antarabangsa sebagai sebuah bangsa, maju dan bersatu padu.
Walaupun kini bergelut dengan kemelut ekonomi dan politik, kita sepatutnya berasa bangga kerana negara ini masih dijadikan contoh, rujukan dan model sebagai sebuah negara Islam yang berjaya menyatupadukan penduduk berbilang kaum dan agama.
Kejayaan ini boleh dipertahankan jika kita mengambil pengajaran daripada pergolakan politik, pergaduhan dan persengketaan antara etnik dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah di beberapa negara luar.
Perkara tersebut sewajarnya menginsafkan kita betapa pentingnya perpaduan, keamanan dan kestabilan. Hakikatnya, apa yang kita ada pada hari ini tidak datang bergolek begitu sahaja.
Bukan sedikit kesusahan dan pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu demi membentuk dan mewujudkan sebuah negara berbilang kaum seperti yang ada pada ketika ini.
Justeru, seluruh rakyat perlu berikrar, berjanji dan bertekad untuk terus mensyukuri segala nikmat yang kita ada pada hari ini seterusnya bangkit mempertahankannya sehingga ke titisan darah terakhir.
Bagi umat Islam, Hari Raya Aidiladha mempunyai nilai signifikan yang cukup tinggi. Konsep pengorbanan ini amat penting dan perlu dihayati oleh semua rakyat.
Apa yang jelas pada ketika ini, kita bukan berhadapan dengan ancaman dan musuh dari luar seperti komunis dan penjajah yang telah ditentang oleh nenek moyang suatu ketika dahulu.
Sebaliknya, kita sedang berhadapan dengan segelintir rakyat sendiri yang begitu mudah lupa tentang asas pembentukan negara ini.
Lantas, tindak-tanduk mereka sering mengancam dan mencabar kedaulatan undang-undang dan boleh memecahbelahkan perpaduan.
Ancaman bersifat dalaman ini dilihat semakin hari semakin memuncak, merebak dan mula mencetuskan pelbagai polemik, konflik dan situasi tegang sesama rakyat.
Ancaman ini jika dibiarkan berleluasa dikhuatiri boleh menghancurkan segala apa yang telah kita bina, pertahankan dan nikmati sekian lama.
Antara isu yang menjadi ancaman kepada negara kita mutakhir ini ialah masalah persengketaan antara kaum merangkumi hak kesamarataan, hak istimewa, isu agama, perbezaan ideologi politik serta persoalan tentang beberapa perkara sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ternyata ancaman dalaman seperti ini lebih bahaya dan serius berbanding anasir luar. Memandangkan ia melibatkan isu-isu sensitif maka kita perlu tanganinya secara berhemah dan dengan kadar segera.
Satu-satunya cara dan kaedah terbaik untuk kita menangani ancaman dalaman seperti ini adalah dengan menyuburkan dan membudayakan kembali konsep pengorbanan dengan mengorbankan ego masing-masing dan bertolak ansur bagi mencapai kesepakatan. – UTUSAN
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED, Universiti Putra Malaysia (UPM)