SAUDARA PENGARANG,
KEMUNGKINAN kadar elektrik naik pada hujung tahun ini atau tahun depan tidak dapat dielakkan terutama bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) apabila kerajaan dijangka memperkenalkan subsidi bersasar.
Pun begitu, ia hanya akan dilaksanakan selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap hujung tahun ini.
Memandangkan kadar elektrik akan naik, jadi eloklah kita sebagai pengguna mengambil tahu bagaimana boleh menjimatkan penggunaan elektrik sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan isi rumah:
• Padam semua lampu bilik atau ruang sekiranya tiada sesiapa di kawasan tersebut. Sebagai contoh, jika anda sekeluarga berehat di ruang tamu, pastikan lampu bilik tidur, ruang makan dan dapur dimatikan.
• Tutup semua suis peralatan elektrik dan elektronik jika tidak digunakan. Sebaik-baiknya jangan dibiarkan dalam mod standby (sedia).
• Sebaik-baiknya guna kipas angin dan elakkan penggunaan penyaman udara. Gunakan penyaman udara jika cuaca terlalu panas.
• Guna satu mentol lampu besar jika memerlukan lebih pencahayaan berbanding mentol bersaiz kecil tetapi banyak bilangannya.
• Didik ahli keluarga menutup suis lampu, kipas atau alatan lain setelah meninggalkan bilik atau ruang.
• Pasang lampu di luar rumah jika perlu sahaja seperti menunggu kedatangan tetamu, menyambut perayaan atau mengadakan majlis atau kenduri.
• Elak guna mesin basuh melebihi muatan atau muatan penuh, sebaiknya muatan tidak terlalu penuh. Selain hasil cucian kurang bersih, ia juga mengakibatkan penggunaan tenaga elektrik berlebihan.
• Pastikan pintu peti ais ditutup rapat setelah digunakan.
• Rajin bersihkan habuk atau debu yang terdapat di coil (gegelung) peti sejuk.
• Peti sejuk beku yang penuh mengurangkan penggunaan tenaga. Jadi, sekiranya peti kosong, isikan kiub ais atau bekas ais supaya tenaga tidak dibuang begitu sahaja. – UTUSAN
BULBIR SINGH, Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan