AI mampu atasi masalah sekuriti makanan - Utusan Malaysia

AI mampu atasi masalah sekuriti makanan

TEKNOLOGI dron dengan kecerdasan buatan (AI) dapat membantu petani mengurus ladang dan sawah secara lebih berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERDASARKAN Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada pada kedudukan 41 atau sederhana daripada 113 negara dengan mata 69.9 peratus.

Oleh itu, pelbagai inisiatif perlu dilakukan bagi meningkatkan jaminan sekuriti makanan negara termasuk memberi tumpuan pada sektor agromakanan.

Sekuriti makanan bermaksud semua orang pada setiap masa mempunyai akses ­fizikal dan ekonomi kepada makanan mencukupi, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan diet serta keutamaan untuk kehidupan aktif dan sihat.

Tahap sederhana dalam indeks terbabit berpunca kerana Malaysia mengimport sekitar 19.5 peratus (RM50.5 bilion) daripada jumlah produk makanan di negara ini.

Pembangunan sektor agromakanan yang kini memberikan pekerjaan kepada lebih 16 peratus daripada tenaga buruh negara perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan pendapatan golongan petani, penternak dan nelayan.

Dalam menghadapi kenaikan harga barang import dan kekurangan bekalan makanan dihasilkan dalam negara, kita perlu memperkasa sektor agromakanan dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Salah satu cara adalah penggunaan teknologi sensor di ladang bagi mengumpul data penting seperti kelembapan tanah, suhu, kepekatan nutrien dan kualiti udara.

Data ini kemudian dianalisis oleh AI untuk memberikan maklumat kepada petani mengenai masa sesuai untuk menyiram air dan membaja tanaman.

Selain itu, AI dapat mengenal pasti tanda-tanda awal serangan makhluk perosak atau penyakit dan memberikan maklumat cepat kepada petani.

Ini membolehkan petani mengambil tindakan pencegahan segera dan tepat, mengurangkan kerugian dan membendung penggunaan racun serangga berlebihan.

Penggunaan dron membolehkan petani menyebarkan baja dengan lebih cepat dan mudah tanpa perlu melibatkan banyak kos dan tenaga manusia.

Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran dalam melaksanakan teknologi AI dalam sektor pertanian. Pertama, terdapat kawasan pertanian yang masih belum mempunyai akses kepada komputer dan rangkaian internet.

Menurut Jabatan Pertanian, hanya 63.9 peratus petani mempunyai akses kepada komputer dan internet. Di samping itu, kekurangan tenaga mahir dalam mengendalikan dron AI juga menjadi halangan.

Selain itu, aspek pembiayaan juga menjadi cabaran. Ini kerana teknologi AI dalam pertanian memerlukan pelaburan tinggi termasuk menyediakan peralatan dan infrastruktur sesuai. – UTUSAN

PROF. MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya