SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi ke Malaysia baru-baru ini yang menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan rundingan dua hala kedua-dua negara berlangsung dalam suasana seperti sebuah keluarga dan sahabat sejati.
Saya tertarik gaya Jokowi melakukan tradisi blusukan (lawatan mengejut) ke Pasar Jalan Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur yang disambut meriah oleh lebih 1,400 peniaga termasuk yang berasal dari Indonesia dan kira-kira 1,000 pengunjung.
Sepanjang Jokowi menyantuni peniaga terbabit di kawasan yang lebih dikenali sebagai ‘Little Jakarta’, lagu kebangsaan Indonesia turut bergema yang dinyanyikan oleh rakyat republik itu yang bekerja di pasar berkenaan. Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah pada Ogos 2019.
Terdahulu, Malaysia dan Indonesia menandatangani empat MoU sempena lawatan kerja dua hari itu meliputi aspek rentas sempadan, perdagangan sempadan, kerjasama promosi pelaburan dan pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk domestik.
Berita yang menggembirakan ialah kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menyelesaikan isu migran melibatkan rakyat republik itu di negara ini seperti menghantar pulang dengan segera warga Indonesia yang ditahan di depoh tahanan imigresen.
Dengan lawatan Presiden Indonesia ini, diharapkan persepakatan kedua-dua negara dalam isu kebanjiran warga Indonesia dapat ditangani dengan tuntas.
Yang dimahukan oleh rakyat Malaysia adalah diselesaikan segera isu pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang tinggal di negara ini tanpa dokumen.
Mereka bertindak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang negara seperti bebas berniaga, membina penempatan haram dan sebagainya.
Lawatan Jokowi diharapkan dapat membuka matanya setelah melihat sendiri betapa ramai rakyat Indonesia terutama di sekitar Kuala Lumpur.
Lihat sahajalah Jokowi beramah mesra dalam suasana santai di Chow Kit dan Kampung Baru yang menyaksikan ramai rakyat Indonesia tinggal di sekitar ibu negara yang menjadi lubuk emas kepada rakyat republik itu untuk mencari rezeki.
Susulan lawatan Jokowi ini, diharapkan dapat pula kerajaan menjemput Perdana Menteri Bangladesh berkunjung ke Malaysia untuk menyaksikan sendiri kebanjiran rakyat negara itu serta menyelesaikan segera isu PATI.
Dianggarkan 200,000 daripada 800,000 rakyat Bangladesh yang mencari rezeki di negara ini tidak mempunyai dokumen sah.
Kita mahu kedatangan Presiden Indonesia ini menjadi langkah permulaan ke arah penyelesaian isu migran di rantau ASEAN yang mana lambakan PATI di negara ini tidak mampu diselesaikan oleh sebuah negara seperti Malaysia sahaja.
Ia memerlukan penglibatan dan kerjasama negara yang rakyatnya berhijrah sebagai pelarian perang atau PATI.
Sudah sampai masanya, persahabatan akrab pemimpin negara ASEAN dan komitmen ditunjukkan Perdana Menteri kita untuk menyelesaikan pelbagai isu melibatkan pekerja Indonesia boleh dipanjangkan kepada PATI dari negara-negara lain.
Tidak ada makna ASEAN ditubuhkan jika tiada kerjasama antara satu sama lain lebih-lebih lagi dalam isu migran dan PATI. – UTUSAN
LANGKAH BERANI, Temerloh, Pahang