SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan Malaysia dijangka berupaya mencapai tahap sara diri (SSL) bagi beras, tanpa perlu mengharapkan import dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Beliau berkata, usaha itu diyakini mampu dijayakan melalui skim SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang mula diperkenalkan kerajaan pada 2021 membabitkan kerjasama 27 syarikat peneraju dengan 5,000 pesawah padi.
Saya menyokong langkah kerajaan ini kerana dengan mengurangkan pergantungan kepada import beras, ia akan membantu meningkatkan kemandirian sektor makanan negara.
Langkah itu juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di luar bandar sekali gus mengurangkan masalah pengangguran.
Apabila padi dapat dihasilkan secara konsisten dan berterusan, harga makanan asas tersebut juga akan menjadi lebih stabil.
Setelah dapat menghasilkan bekalan beras yang mencukupi untuk keperluan domestik, tumpuan juga harus diberikan bagi menjadikan beras sebagai hasil pertanian untuk eksport sama seperti kelapa sawit.
Langkah tersebut sudah pasti dapat meningkatkan pendapatan negara sekali gus boleh memperkuat mata wang ringgit.
Pada masa sekarang, kita masih lagi ketinggalan berbanding China yang merupakan negara pengeluar beras terbesar dunia pada 2022.
Negara jiran, Indonesia adalah negara pengeluar beras keempat terbesar dunia selepas India dan Bangladesh.
Negara-negara ASEAN lain yang mengatasi Malaysia dari segi pengeluaran beras ialah Vietnam, Thailand, Filipina dan Myanmar.
Negara-negara lain yang turut mengeluarkan beras dalam kuantiti lebih banyak berbanding Malaysia ialah Pakistan dan Jepun.
Persoalannya, adakah penanaman padi memberikan impak besar kepada sektor ekonomi? Jawapannya, ya. Ini kerana peningkatan produk padi yang berterusan dapat memberikan kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Penanaman padi memberi kesan positif yang ketara kepada ekonomi termasuk meningkatkan pendapatan petani, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara umum. – UTUSAN
NORAMIRAHDIYANA MOHD. YUSOF, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)