SAUDARA PENGARANG,
PADA 7 Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 individu termasuk pegawai agensi kerajaan dan doktor di sekitar Lembah Klang kerana disyaki terlibat dengan komplot menyediakan dokumen palsu bagi membolehkan beratus bayi tidak sah taraf atau bayi pendatang asing didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pula dilaporkan berkata, sindiket ‘jual bayi’ atau menjual sijil kelahiran itu dianggap mencemar kedaulatan negara dan mana-mana pihak terlibat perlu disiasat hingga ke akar umbi.
Saya bersetuju dengan kenyataan Azam itu. Pembabitan doktor dalam sindiket sedemikian adalah satu perlakuan sangat tidak bertanggungjawab yang sama sekali bertentangan dengan etika pegawai perubatan.
Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) mesti memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pegawai perubatan atau klinik kesihatan termasuk swasta yang terlibat.
JPN juga mesti menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pegawai-pegawainya yang terlibat. Kelahiran bayi tidak sah taraf atau bayi di luar nikah menjadi beban moral yang menimbulkan banyak masalah dari segi pendaftaran kelahiran.
Justeru, ada yang cuba menyembunyikan kelahiran, malah terdapat ibu sanggup membuang bayi yang dilahirkannya.
Jika bayi itu bernasib baik, ibu kandungnya akan mengambil jalan berlindung di pusat perlindungan disediakan kerajaan atau menyerahkannya kepada sesiapa sahaja yang mahu menerima bayi berkenaan.
Apa yang membimbangkan kita adalah dalam situasi begini, wujud sindiket penjualan bayi yang mengambil kesempatan menimbun kekayaan daripada kes-kes sedemikian.
Sindiket terbabit akan bertindak mendekati atau mengumpulkan ibu hamil yang tidak bersuami dan menawarkan kepada mereka untuk melahirkan anak di hospital dengan syarat tertentu seperti sanggup menyerahkan bayi yang dilahirkan itu kepada individu yang ingin mengambil anak angkat.
Sindiket terbabit kebiasaannya melibatkan doktor dan pegawai pendaftaran kelahiran yang sanggup menerima rasuah bagi mengeluarkan surat kelahiran palsu dan pendaftaran kelahiran secara tidak sah.
Pasaran bawah tanah ini menyasarkan pasangan yang ingin mengambil anak angkat, biasanya yang telah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak.
Harga seorang bayi boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM12,000, malah ada yang boleh mencapai sehingga RM20,000 atau lebih seorang mengikut kriteria-kriteria tertentu yang ditetapkan.
Sudah tentu kita tidak mahu Malaysia dikenali sebagai negara yang sangat mudah untuk dijalankan aktiviti membeli bayi secara haram. Kita tidak mahu penjualan bayi di negara ini seperti menjual barang komoditi lain.
Selain itu, penjualan bayi secara haram ini mungkin hanya sebahagian kegiatan jenayah yang lebih besar seperti pemerdagangan kanak-kanak untuk tujuan pemindahan organ manusia, aktiviti seks, buruh paksa dan perhambaan.
Apa yang kita harapkan ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, SPRM, JPN dan agensi-agensi lain yang berkaitan dapat membentuk satu pasukan petugas yang mantap bagi membendung dan menghentikan aktiviti penjualan bayi di negara ini.
Antara tugas pasukan ini adalah mencadangkan langkah-langkah meningkatkan kaedah memantau dan mengesan modus operandi sindiket penjualan bayi termasuk pengiklanan secara dalam talian. – UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas