SAUDARA PENGARANG,
IBN Khaldun dalam kitabnya, Muqadima menjelaskan bahawa tamadun bermula dari bandar.
Al-Farabi turut membincangkan pengertian madani itu membawa maksud perkotaan yang mengalami bertakat-takat tahap ketamadunan daripada tidak beradab kepada sebuah peradaban sempurna.
Memetik laporan dalam buku tulisan Azlizan Talib dan Muhammad Azwan, perbincangan segera madani adalah perlu bagi mengambil langkah baik untuk melaksanakan pembaikan rekahan yang berlaku di bandar sebagai pelaksanaan segera. Kemudiannya ia dikembangkan segera ke luar bandar.
Begitu juga di Malaysia dalam keadaan mutakhir, iaitu hampir 75.1 peratus rakyat tinggal di bandar dan selebihnya 24.9 peratus di luar bandar.
Oleh itu, cabaran di bandar dari segi kerumitan, percanggahan, kekacauan, keserentakan dan ketidaktentuan masa depan menambahkan lagi rekahan serta kesenjangan kepada isu kemiskinan, krisis keyakinan, sosial, fahaman melampau, kecelikan kewangan dan digital yang menggusarkan, daya huni tidak seimbang, gangguan ekologi manusia dan alam sekitar serta lain-lain lagi.
Perkara ini perlu diatasi agar tidak terus menerus menjalar ke kawasan luar bandar yang lebih diketahui akan lebih berisiko jika berhadapan dengan cabaran berkenaan.
Bagi mencapai pengertian tersebut, memasyarakatkan konsep Negara Bangsa Malaysia ke dalam sektor-sektor utama sebagai pengisian kepada enam rukun utama Malaysia Madani digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penting sebagai peneraju dalam setiap program dan aktiviti di semua peringkat kerajaan, perniagaan dan masyarakat.
Justeru, keseluruhan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian menerusi penyediaan suatu pelan yang tersusun adalah perlu dibangunkan supaya setiap individu dapat memahami gagasan Malaysia Madani dan selepas itu membuat pelan bertindak bagi mewujudkan masyarakat madani dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Rakyat mengambil iktibar daripada pengalaman masa lalu yang mana setiap dasar digagaskan oleh setiap pemimpin negara akan lenyap apabila mereka tidak lagi menerajui pimpinan.
Tidak dapat dinafikan setiap dasar yang digagaskan adalah baik, namun tanpa dilanjutkan menyebabkan ia terhenti begitu sahaja tanpa diteruskan oleh pimpinan selepasnya.
Adalah dicadangkan semua dasar yang diputus oleh pimpinan terdahulu diteruskan walaupun mereka bukan lagi Perdana Menteri atau sudah tiada lagi.
Contohnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji kekal menjadi dasar baharu, bukannya one-off semata-mata.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya