SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI hadirin dalam program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini, ia mengingatkan kami tentang sesi ceramah TED yang biasa disiarkan di saluran perkongsian video, YouTube.
Ceramah TED adalah dalam bentuk sesi perkongsian ilmu dalam pelbagai bidang yang direkodkan ketika disampaikan dalam acara tahunan anjuran organisasi bukan kerajaan, TED.
Dengan slogan ‘Idea yang bernilai untuk disebarkan’, pada asalnya ia memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan teknologi.
Namun, telah berkembang sejak 1990 menjadi platform penyebaran idea berkaitan teknologi, hiburan dan reka bentuk.
Temu Anwar pula adalah program dialog anak muda bersiri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesi ini memberi peluang kepada golongan muda khususnya untuk berdialog serta meluahkan pandangan tentang isu dan permasalahan semasa.
Sesi yang diadakan di USM itu menyusul sesi terdahulu yang telah diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Berbalik kepada sesi mirip ceramah TED yang kebiasaannya memberi ruang kepada para pemikir dan individu berkaliber, ia diselang seli dengan pengisian bermakna oleh Perdana Menteri.
Bermula dengan memberi peringatan kepada mahasiswa tentang pentingnya menuntut ilmu, beliau seterusnya menekankan kepentingan membaca pelbagai bahan rujukan supaya dapat diperkayakan pengetahuan tentang hal-hal semasa.
Nasihat lain adalah menjadikan al-Quran sebagai asas utama dalam membuat rujukan. Beliau juga menggalakkan golongan muda membaca dan cuba memahami karya agung dari pelbagai bangsa dan budaya lain.
Sesuai sekali dengan latar belakangnya yang pernah mengajar di Universiti Oxford, Universiti John Hopkins di Maryland dan Universiti Georgetown, Washington, beliau menjawab setiap soalan diutarakan secara ringkas dan berhemah.
Mempamerkan ketokohannya sebagai seorang bekas ahli akademik dan ahli politik berpengalaman, Anwar juga menekankan betapa penting bagi seorang pemimpin mempunyai pengetahuan dalam menjawab mahupun membincangkan sesuatu isu.
Ada ketika beliau bertegas dan ada juga waktu tertentu Anwar berjenaka. Hampir sejam lebih, beliau menjawab pelbagai soalan berkaitan isu keperluan dan peluang bagi mahasiswa dan graduan pada waktu sekarang dan masa hadapan.
Apa yang kami ingin beri tumpuan di sini adalah cara berkomunikasi beliau sebagai seorang pemimpin negara.
Tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, amat penting ditekankan bahawa sebagai seorang ahli politik, lebih-lebih lagi seorang Perdana Menteri, beliau memahami isu, suasana dan golongan rakyat yang bertemu dengannya.
Kefahamannya tentang semua isu itu dapat dilihat dari cara beliau berkomunikasi. Pengisian yang disampaikan penuh bermakna, santai dan mudah difahami serta mampu berceloteh dan berjenaka sebagai penyeri bicara.
Bukan cakap ikut suka hati, dengan nada yang tinggi, keras, mendesak, menyindir dengan gaya bahasa dan tutur kata berunsur negatif lain seperti dilakukan sesetengah penceramah.
Hanya individu yang memiliki kecenderungan pembacaan meluas serta kefahaman mendalam berkaitan ilmu komunikasi berkesan akan mampu melakukannya.
Anwar juga kami lihat memiliki perwatakan dan pembawaan yang sesuai dicontohi oleh generasi muda terutama golongan terpelajar dalam membina masa hadapan negara lebih dinamik dan positif. – UTUSAN
MAZLAN HANAFI BASHARUDIN & MUHAMMAD HAZIQ AQMAR AMRIL NURMAN, Universiti Sains Malaysia (USM)